KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengeluarkan lesen hab pengangkutan awam kepada beberapa pusat beli-belah yang sesuai di Lembah Klang dalam usaha mengatasi kesesakan trafik dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata antara pusat beli-belah yang akan dilesenkan dalam tempoh terdekat ialah Lalaport di Bukit Bintang yang menjadi antara tumpuan utama pelancong ke pusat bandar raya ini.
Sebelum ini, katanya, kebanyakan bas ekspres, khususnya antara Kuala Lumpur-Singapura menurunkan penumpang di beberapa lokasi seperti kompleks beli-belah Berjaya Times Square dan hotel tertentu yang dilihat kurang sesuai dan tidak selamat.
“Keadaan ini mengundang bahaya dan tidak praktikal untuk diteruskan kerana menambah kesesakan jalan yang sememangnya sesak. Namun, buat masa ini kerajaan memberi tempoh moratorium kepada pengendali bas ekspres yang menghentikan kenderaan di tepi jalan.
“Tiada saman dikeluarkan sebelum hab pengangkutan awam di Lalaport ini benar-benar bersedia untuk menawarkan perkhidmatan. Kerajaan juga sedang meneliti beberapa lokasi lain seperti di IOI City Mall di Putrajaya, 1 Utama dan Sunway Pyramid,” katanya.
Beliau memaklumkan perkembangan itu ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport bagi meninjau kemudahan, operasi serta peranan hab berkenaan.
Lokasi berkenaan antara pusat pengangkutan bandar yang menyokong integrasi pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan bas persiaran dan pelancongan di pusat bandar Kuala Lumpur.
Antara kemudahan disediakan ialah Sistem Tiket Berpusat (CTS), 11 petak bas yang merangkumi enam petak pelepasan dan lima petak ketibaan serta akses kepada kemudahan pertukaran perkhidmatan stesen transit aliran ringan (LRT) dan monorel.
Jelas Loke lagi, hab pengangkutan awam, khususnya di dalam kawasan pusat beli-belah penting memandangkan kebanyakan pelancong memilih pusat bandar raya sebagai destinasi utama.
“Sekiranya bas ekspres berhenti di terminal bas utama, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak, ia jauh dan tiada keperluan untuk pelancong. Pada masa sama, hab pengangkutan awam di beberapa lokasi kompleks beli-belah juga sesuai kerana integrasi dengan LRT dan monorel.
“Bagaimanapun, sebelum kerajaan memberikan lesen hab pengangkutan awam, pemilik bangunan dan pengendali perlu menaik taraf segala kemudahan bagi melancarkan perjalanan dan memberi keselesaan kepada pengguna,
“Pembangunan terminal bas yang tersusun dan bersepadu penting bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat beroperasi secara selamat, cekap dan selesa, selain menyokong agenda mobiliti mampan serta pertumbuhan sektor pelancongan negara,” katanya.-BH Online
