ALOR SETAR: Ujian saringan diagnostik khas akan digunakan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata hanya murid yang layak dan berjaya melepasi kriteria ditetapkan setelah menduduki ujian diagnostik itu akan dipilih untuk kemasukan berkenaan.
Justeru, beliau berkata, ibu bapa perlu mendaftar anak mereka terlebih dahulu untuk menduduki ujian saringan itu, tahun ini, yang akan diumumkan pelaksanaannya nanti.
Fadhlina bagaimanapun menjelaskan bahawa pelaksanaan kemasukan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun, bukan diwajibkan kepada semua ibu bapa.
Sebaliknya, beliau berkata, ia sebagai pilihan yang mana kanak-kanak lain masih boleh kekal memasuki Tahun Satu pada umur tujuh tahun mengikut sistem ketika ini.
“Pertama, (ibu bapa) jangan panik, itu paling penting…. kena bertenang dan melihat ini sebagai suatu pembaharuan dalam sistem pendidikan.
“Ia bukan asing di negara lain yang sudah melaksanakannya. Sebab itulah, kita memulakannya dengan tidak wajib dan ia adalah pilihan.
“Walaupun pilihan, kita tidak memberikan kebebasan kepada ibu bapa begitu saja… ia datang dengan kebersediaan anak dan paling penting sokongan pada peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) yang kita namakan sebagai ujian diagnostik.
“Ujian diagnostik ini untuk mengenal pasti kebersediaan anak-anak itu… adakah bersedia dari segi psikoemosi, tahap kemahirannya, adakah dia boleh berada dalam kelas Tahun Satu dengan semua persiapan itu?” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah yang turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kriteria untuk layak memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun, Fadhlina memaklumkan, terdapat beberapa perkara akan dilihat berpandukan keputusan ujian diagnostik itu, termasuk sama ada melepasi kriteria ditetapkan.
Beliau berkata, kanak-kanak terbabit perlu mencapai had tertentu dalam ujian itu, termasuk dari segi psikoemosi dan kemahiran ditetapkan.
“Kita akan memaklumkan bila ujian diagnostik itu akan diadakan, lokasi dan semuanya.
“Ujian itu perlu dilalui oleh anak-anak yang mahu memasuki Tahun Satu (pada umur enam tahun). Yang ini kita mahu sampaikan agar ia tidak dilihat sebagai dasar yang terburu-buru.
“Ibu bapa yang mahu anak memasuki Tahun Satu itu pula perlu bagi komitmen dengan memastikan anak menduduki ujian. Kita akan membantu ibu bapa dan memberikan pedoman.
“Ibu bapa yang tidak bersetuju pula boleh mengikut cara biasa di mana anak mereka memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun. Sebab itu, kita kata tidak wajib dan perlu disokong diagnostik,” katanya.-BH online
