KUALA LUMPUR: Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang diluncurkan, hari ini, menetapkan syarat pembabitan sekurang-kurang 30 peratus syarikat serta kandungan tempatan atau ‘local content’ dalam setiap perolehan pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata dengan langkah itu, tiada lagi pembabitan pengeluar peralatan asal (OEM) dalam semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi aset pertahanan.
Bagi Malaysia yang baru memulakan usaha berkenaan, beliau berkata, kadar 30 peratus dilihat sebagai munasabah dan minimum, berbanding sesetengah negara lain seperti Arab Saudi yang sudah menetapkan 50 peratus.
“Sebab itu, ia menjadi syarat (dalam dasar DIPN). Semua yang masuk tender mesti memastikan… mesti cari ‘local content’ untuk memenuhi syarat ditetapkan oleh negara masing-masing.
“Satu lagi, tiada lagi pembabitan OEM dalam aktiviti MRO. Bahkan, semua aktiviti perkhidmatan MRO mesti dijayakan oleh syarikat tempatan.
“Ia melainkan aktiviti MRO dalam tempoh ‘warranty’ yang boleh dikendalikan oleh OEM saja… biasanya satu tahun, dua tahun. Namun, mereka mesti bersungguh-sungguh mencari syarikat tempatan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat MRO bagi negara kita.
“Sekarang, masih ada 15 MRO yang dikendalikan OEM, maknanya syarikat luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran DIPN yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa setiap syarikat tempatan terbabit dalam MRO pula perlu menunjukkan inovasi serta penambahbaikan yang dapat meningkatkan peratusan kandungan tempatan, selain melakukan inovasi bagi mengurangkan kos.
“Jika gagal, mereka tidak akan disambung kontrak MRO walaupun mereka syarikat tempatan.
“Matlamat kita ialah mengutamakan kepentingan negara. Kita akan membuka semula tender bagi memberi peluang kepada syarikat tempatan yang benar-benar mampu berinovasi,” katanya.
Bawah DIPN, beliau berkata, pemindahan teknologi secara berkesan juga akan dilaksanakan selari keperluan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dalam hal ini, kita akan melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) secara agresif untuk memindahkan teknologi kepada syarikat pertahanan tempatan yang benar-benar berkeupayaan menerima teknologi, dan bukan memindahkan teknologi kepada mana-mana syarikat yang langsung tidak mampu memanfaatkan teknologi itu.
“Pendek kata, ICP hanya akan diberi kepada syarikat yang benar-benar boleh melahirkan hasil dan produk daripada pemindahan teknologi itu.
“Jika anda boleh bayangkan, sejak bertahun-tahun lalu, kira-kira RM40 bilion nilai ICP sudah diperuntukkan tetapi kita masih belum melihat sebarang syarikat ataupun memenuhi dan berjaya mengeluarkan produk.
“Kali ini, kita mahu ICP itu benar-benar dapat melahirkan syarikat pengeluar tempatan dan produk pertahanan negara,” katanya.-BH Online
