Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung isu kandungan dalam talian terbitan sebuah akhbar tempatan yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan dijalankan susulan aduan rasmi yang dibuat oleh orang awam yang di dakwa boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu peruntukan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi,” katanya.

Menurutnya dalam satu kenyataan, sekiranya ada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau dalam pada itu turut menggesa Majlis Media Malaysia bertindak sebagai sebuah badan bebas yang memainkan peranan yang diperuntukkan kepadanya dengan memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat, serta menjadi platform pengawal seliaan kendiri bagi menangani aduan dan isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya di media sosial, serta sentiasa menghormati institusi Raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.-Berita RTM