Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA 20 Januari – Tema “Menerajui Tekad Reformasi” dipilih sebagai simbol kesiapsiagaan penjawat awam untuk menerajui perubahan negara berlandaskan nilai-nilai Malaysia MADANI.

Ia selaras seruan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara agar usaha reformasi dipercepat berteraskan prinsip meringankan urusan rakyat, bukan merumitkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA ), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, tahun 2026 menjadi tahun pecutan reformasi perkhidmatan awam yang perlu berada di barisan hadapan demi perubahan kesejahteraan rakyat.

Dalam amanat itu, beliau turut memberi perhatian terhadap cabaran semasa perkhidmatan awam termasuk persepsi negatif masyarakat, beban kewangan pencen dan ketidakpadanan bakat.

Bagaimanapun, cabaran paling kritikal yang ditekankan ialah impak kecerdasan buatan atau AI terhadap landskap pekerjaan, termasuk sektor awam.

Menurut ,Tan Sri Wan Ahmad Dahlan lagi, pemimpin jabatan perlu memiliki keupayaan kepimpinan baharu yang mampu mengimbangi penggunaan teknologi dan sentuhan kemanusiaan, selain menyemak semula peranan dan deskripsi tugas pegawai agar selari dengan ekosistem teknologi semasa.

“Pada era kecerdasan buatan ini, kebijaksanaan seorang pemimpin terserlah apabila mampu mengenal pasti tugasan yang memerlukan sentuhan kemanusiaan dan mana yang lebih efisien dioptimumkan melalui mesin,” katanya.

Beliau turut menggesa setiap Ketua Jabatan menyemak semula deskripsi tugas pegawai di bawah seliaan masing-masing agar selaras dengan ekosistem teknologi masa kini

Seiring usaha tersebut, Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneruskan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam atau ARPA, termasuk pelancaran Pelan Strategik JPA 2026–2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan JPA bagi mempermudah urusan rakyat.

Dalam pada itu, penekanan turut diberikan kepada pembangunan modal insan masa hadapan, pengukuhan kepimpinan berasaskan nilai, tatakelola yang berintegriti serta penyampaian perkhidmatan yang lebih tangkas dan responsif.

“Kita perlu menterjemahkan kemahiran baharu kepada peningkatan produktiviti yang nyata, demi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan dan cemerlang.”

KPPA turut menyeru penjawat awam agar kekal tabah mendepani cabaran, seiring peningkatan harapan rakyat terhadap mutu perkhidmatan kerajaan

Pada program amanat ini ,turut diluncurkan Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam dan Garis Panduan Pengoperasian Inisiatif Pemerkasaan
Institut Latihan Awam

Seramai 400 kehadiran oleh Pengurusan Tertinggi dan warga JPA secara fizikal dan lebih 34,000 pegawai perkhidmatan awam seluruh malaysia hadir secara dalam talian.-Berita RTM