Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 19 Januari – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap seorang pegawai imigresen berhubung aktiviti ‘pasport terbang’ atau flying passport yang dikesan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

EAIC mengesyorkan susulan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkenaan yang berlaku pada 2 Jun 2025, selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

“Hasil siasatan mendapati pegawai terbabit telah memasukkan butiran maklumat seorang penumpang yang masuk ke Malaysia, termasuk maklumat pasport, ke dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran fizikal penumpang berkenaan di kaunter pemeriksaan semasa urusan dijalankan.

“EAIC mendapati tindakan pegawai tersebut tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen Malaysia serta Prosedur atau Garis Panduan PK(0)IM.H.03-02 yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

EAIC berkata perbuatan berkenaan merupakan satu salah laku di bawah perenggan 24(1)(f) Akta 700.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Imigresen Malaysia dengan syor supaya tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terbabit.

“EAIC mengesyorkan tindakan di bawah perenggan 4(2)(f) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 kerana berkelakuan tidak jujur atau tidak amanah, serta perenggan 4(2)(g) kerana berkelakuan tidak bertanggungjawab,” tambah kenyataan itu.

EAIC menegaskan komitmen suruhanjaya berkenaan untuk memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti sentiasa dipelihara dalam kalangan agensi penguatkuasaan, khususnya yang melibatkan keselamatan dan kawalan sempadan negara.-Berita RTM