Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Lima Jawatankuasa Pemantauan ditubuhkan bagi menyelia bidang utama perbelanjaan Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan melibatkan ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memastikan peruntukan yang telah diluluskan dapat dilaksanakan mengikut perancangan serta keperluan komuniti setempat.

Menurutnya, lima jawatankuasa itu terdiri daripada Jawatankuasa Pemantauan Lestari Niaga yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran, Jawatankuasa Pemantauan Perumahan Awam, Program Perumahan Rakyat (PPR), Projek Rakyat dan Kesejahteraan Komuniti yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut ditubuhkan ialah Jawatankuasa Pemantauan Mitigasi Banjir, Penyelenggaraan Jalan Raya serta Pengurusan dan Penyelenggaraan Cerun yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Ts Zahari Hassan.

Selain itu, Jawatankuasa Pemantauan Pengurusan Sistem dan Lalu Lintas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, manakala Jawatankuasa Pemantauan Kebersihan Bandar Hijau dan Lestari dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Dalam pada itu, Hannah menegaskan sebarang pembangunan berskala besar di Kuala Lumpur diwajibkan mendapatkan pandangan Ahli Parlimen kawasan terlibat sebelum kelulusan diberikan.

Beliau berkata amalan pembangunan di ibu negara tanpa pengetahuan atau penglibatan wakil rakyat yang dipilih perlu dihentikan bagi memastikan keputusan pembangunan benar-benar mengambil kira kepentingan komuniti setempat.

Sehubungan itu, katanya Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan diberikan akses kepada Portal One Stop Centre (OSC) DBKL bagi membolehkan mereka dimaklumkan lebih awal mengenai permohonan pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing serta memberi maklum balas sebelum keputusan dibuat.

Menurut Hannah, langkah berkenaan bertujuan memperkukuh akauntabiliti dan meningkatkan ketelusan dalam urusan perancangan serta pembangunan bandar.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.-Berita RTM