Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG, 19 Januari – Kejayaan kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 membuktikan keupayaan negara menghimpunkan kesepakatan negara anggota serta rakan luar ASEAN walaupun di sebalik ketidaktentuan geopolitik global.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan itu dizahirkan termasuk pencapaian signifikan melalui pelbagai hasil rundingan dan kesepakatan yang dicapai sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia.

Ini sekali gus termasuk kejayaan signifikan dengan lebih 90 dokumen berjaya dimuktamadkan melibatkan pelbagai bidang kerjasama.

“Kita berjaya menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara dengan menganjurkan Sidang ASEAN-GCC, ASEAN-GCC–China serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ke-47 yang mendapat perhatian dunia.

“Banyak diperkatakan mengenai kejayaan kita, bukan sahaja daripada segi logistik, malah keupayaan menguruskan kehadiran pemimpin-pemimpin dunia yang bukan calang-calang dan termasuk pencapaian menjadikan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN dan Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Tambah beliau, pemeteraian Visi Komuniti ASEAN 2045 turut menjadi bukti kejayaan dan keberhasilan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Kejayaan ini tentunya disokong oleh komitmen padu semua kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berganding bahu memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya lagi.-Berita RTM