Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit berhubung urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam media sosial.

Kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik ATM, dalam media sosial.

“MINDEF menegaskan tindakan itu, termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM, adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

“Tindakan mendahului proses rasmi ini bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM, atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Justeru, MINDEF menegaskan sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi diraja dan hierarki kepimpinan ATM.

“MINDEF ingin memberi peringatan bahawa sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

“Pihak terbabit dinasihat menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM, serta mengelirukan masyarakat.

“MINDEF tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit menyebarkan maklumat sulit kerajaan bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mahupun Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan penyebaran maklumat dalaman kerajaan menerusi platform media sosial,” katanya.

Justeru, MINDEF menasihati orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi berkenaan, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi melalui saluran kementerian dan ATM.-Berita RTM