Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan memberi fokus kepada tugas dan tanggungjawab, selain bersikap baik dengan hadir membahas isu di Dewan Rakyat. 

Jurucakap Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, berkata pada dua atau tiga minggu pertama sidang Dewan Rakyat berlangsung, Ahli Parlimen akan membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) yang diumum Perdana Menteri pada 5 Januari lalu akan menjadi keutamaan untuk dibahaskan pada sesi Parlimen kali ini.

“RUU itu bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh dan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, selain RUU Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan Ombudsman,” katanya selepas taklimat prapersidangan Dewan Rakyat di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Majlis bermula jam 2.30 petang itu dipengerusikan Anwar yang dilihat keluar meninggalkan Seri Perdana pada jam 4.20 petang dan melambaikan tangan kepada pengamal media di luar pagar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat tiba pada jam 4.05 petang bagi menghadiri taklimat itu apabila kenderaannya memasuki Seri Perdana selepas perjumpaan selesai.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Baginda dijadual menyampaikan Titah Diraja bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.-BH Online