Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seorang doktorpakar dari Institut Jantung Negara (IJN) di sini, terpilih sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

IJN dalam kenyataan, berkata Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantung, Datuk Seri Dr Azmee Ghazi dipilih menyertai pasukan perubatan khas bagi prosedur perubatan yang akan dijalani Sultan Hassanal Bolkiah.

Ia turut mendoakan semoga prosedur itu berjalan lancar selain baginda dikurniakan pemulihan yang cepat dan berterusan.

“Pemilihan Datuk Seri Dr Azmee Ghazi mencerminkan kepercayaan tinggi terhadap kepemimpinan klinikal dan kepakaran pakar IJN dalam memberikan tahap penjagaan kesihatan yang tertinggi,” menurut kenyataan itu hari ini.

IJN memaklumkan, jemputan untuk menyumbang khidmat kepakaran bersama pasukan perubatan Diraja Brunei adalah pengiktirafan profesional yang amat bermakna, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi berkenaan sebagai pusat kecemerlangan kardiovaskular di peringkat serantau.

null

“Pembabitan ini turut membuktikan kepakaran IJN menjadi rujukan melangkaui sempadan negara, khususnya bagi rawatan kardiovaskular yang kompleks dan berteknologi tinggi, hasil pengalaman berdekad-dekad serta pematuhan kepada piawaian kualiti antarabangsa,” katanya.

Menurut IJN, pembabitan Dr Azmee juga menyerlahkan kepemimpinan beliau dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung, selain mencerminkan komitmen berterusan IJN dalam melahirkan pakar bertaraf dunia.

“IJN sentiasa bersedia untuk menyumbangkan kepakaran di mana sahaja ia diperlukan, berteraskan profesionalisme, ketepatan serta tanggungjawab murni untuk berkhidmat,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa dan ucapan kesejahteraan buat Sultan Hassanal Bolkiah.

Menerusi hantaran Facebook, Anwar berkata, beliau menerima perkhabaran Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani rawatan kesihatan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan pada 18 Januari.-BH Online