KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap PAS akan ‘terbubar sendiri’ kerana UMNO lebih awal meletakkan Islam di hadapan menerusi pindaan perlembagaan parti pada 2019.
Pandangan itu dinyatakan beliau ketika mengimbau amanat bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pernah mencadangkan UMNO dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Ada rakan daripada PKR dan AMANAH hadir di sini apabila Allahyarham Nik Aziz menyebut UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya, dalam Perlembagaan UMNO, PAS akan dibubarkan.
“Saya anggap itu sebagai wasiat. Apabila saya mengambil alih kepimpinan UMNO, perkara utama saya lakukan adalah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO.
“Tapi PAS belum terbubar lagilah, saya harap akan terbubar dengar sendirinya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di sini, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan, UMNO tidak pernah menolak Islam, jauh sekali berniat untuk mengeksploitasinya.
“Bagi UMNO, Islam ialah panduan kenegaraan, bukannya untuk modal politik. Islam dibina melalui dasar dan institusi, bukan slogan retorik,” katanya.
Pada 2008, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika itu, dilapor mencadangkan UMNO dan PAS dibubar dengan menubuhkan parti baharu berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung semua pihak termasuk bukan Islam.
Mursyidul Am PAS itu dilapor berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan perjuangan sebenar.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO bersedia mengundang PAS untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam, di luar lingkungan politik seperti Multaqa Ilmuwan Islam.
Beliau berkata, pengumuman berhubung organisasi itu bagaimanapun akan dibuat pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Kita akan melakukannya pada hari terakhir PAU, saya akan mengumumkan sesuatu iaitu sebuah organisasi di luar lingkungan politik.
“Saya cadangkan kita menubuhkannya dan Kabinet juga sudah meluluskannya, maka saya akan umumkan,” katanya.
Penubuhan Majlis Ulama UMNO pada 2018, kata Ahmad Zahid, adalah usaha parti mengenepikan soal ideologi politik.
“Apabila bercakap mengenai soal agama, kita mesti melakukan penyatuan fitrah dan pemikiran atau tindakan.
“Ini yang kita lakukan dan berhasrat untuk bersikap terbuka mengenainya,” katanya.-BH Online
