Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung tinggi titah dan nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam yang berkesan dan berintegriti sebagai asas penting dalam mendepani cabaran semasa umat Islam di negara ini.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang dipengerusikan Sultan Nazrin, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, titah berkenaan amat bermakna dan wajar dihayati bersama sebagai panduan dalam memperkukuh nilai, ilmu dan nurani umat Islam selaras dengan tuntutan semasa.

“Mesyuarat berkenaan turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam merangka pandangan serta keputusan strategik demi kepentingan umat Islam, selaras dengan keperluan semasa dan realiti masyarakat majmuk Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus membulatkan tekad untuk memperkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan melalui semangat musyawarah antara negeri, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta didukung oleh nilai dan aspirasi Malaysia MADANI demi kesejahteraan umat dan keharmonian negara yang berpanjangan,” katanya menerusi kenyataan pada akaun Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Sultan Nazrin menegaskan mengenai kepentingan untuk mengangkat dan menghormati keputusan dibuat MKI.

Untuk itu, baginda menitahkan kerajaan negeri serta Kerajaan Pusat memberikan perhatian dan menyusuli keputusan serta ketetapan dirumuskan supaya MKI tidak dianggap sekadar forum untuk berbincang dan berhujah, sedangkan perakuan yang dirumuskan ditinggalkan tergantung tanpa sebarang tindakan susulan yang bersungguh.

“Dalam tempoh dua tahun diamanahkan mempengerusikan MKI, mesyuarat-mesyuarat MKI sudah membincang dan menimbang pelbagai perkara untuk mencapai persefahaman dan persepakatan.

“Majlis Raja-Raja sudah dipersembahkan perkara-perkara yang dirumuskan. Yang lebih penting selepas ini ialah tindakan susulan atas segala saranan dan rumusan supaya saranan dan rumusan tidak tinggal sebagai dokumen bertulis yang menghadapi nasib tenggelam dalam timbunan kertas,” titah baginda.-BH Online