SHAH ALAM: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan memastikan aspek keselamatan dalam talian menerusi aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya iaitu Grok.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tindakan itu susulan kegagalan mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian khususnya kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.
“MCMC menghubungi pihak X pada minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah aplikasi Grok yang boleh menghasilkan gambar (kandungan) yang tidak senonoh, terutama membabitkan kanak-kanak dan wanita.
“Jadi ini satu pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Akta Keselamatan Dalam Talian di negara kita.
“Pihak X sudah memberikan maklum balas, tetapi tidak memadai kerana kenyataannya proforma (bukan rasmi).
“Jadi selepas mendapat maklum balas daripada MCMC, saya mengarahkan supaya sekatan sementara dikenakan terhadap Grok, selain pihak X dipanggil berbincang dan kita akan pertimbang juga tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, sekatan itu tidak membabitkan keseluruhan platform X, sebaliknya tertumpu kepada aplikasi Grok yang didapati tidak mempunyai kawalan keselamatan mencukupi untuk penggunaan AI.
“Isu ini membabitkan pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Keselamatan Dalam Talian. Selagi kandungan melanggar undang-undang terus diterbitkan, maka boleh dikenakan tindakan kepada platform itu.
“Berapa lama Grok akan disekat, itu tidak dapat dipastikan, sehingga mereka mesti patuh dan akur dengan undang-undang negara kita,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil langkah tegas terhadap Grok, sebaliknya beberapa negara lain termasuk Indonesia sudah menyekat aplikasi itu, manakala United Kingdom sedang meneliti isu sama.
Katanya, selepas ini beliau akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) yang baru dibentuk dan dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
“Kita akan teliti beberapa perkara memastikan internet di Malaysia menjadi lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.-BH Online
