SHAH ALAM, 13 Januari -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap platform media sosial X.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dibuat selepas penyalahgunaan Grok berulang kali yang didapati tidak menapis kandungan berbahaya serta gagal memastikan keselamatan semua pengguna, termasuk kanak-kanak.
“MCMC sedang mempunyai pertimbangan untuk menyaman X kerana gagal menjamin keselamatan pengguna-pengguna, termasuk di Malaysia, terutama di Malaysia. Sedang mempunyai pertimbangan untuk mengheret X ke mahkamah. Kita pernah bawa Telegram ke mahkamah.
“Jadi, dengan kestabilan politik, kestabilan dasar, kita boleh memastikan rakyat bukan hanya mendapat manfaat, ekonomi makin baik, bantuan makin banyak, tapi hidup kita juga lebih selamat.”
Beliau berucap pada Majlis penyerahan watikah pelantikan pengerusi panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.
Beliau turut memberitahu, ketika ini MCMC sedang mengadakan perbincangan dengan platform media sosial bagi memastikan pematuhan Akta Keselamatan Dalam Talian dan undang-undang sedia ada.
“Sekarang, waktu ini, dalam hari-hari kebelakangan ini dan ke depan, perbincangan sedang dilakukan antara MCMC dan platform-platform media sosial untuk pastikan mereka akur dan patuh dengan Akta Keselamatan Dalam Talian. Apa yang boleh kita lakukan, termasuk dengan Akta Komunikasi dan Akta Media, sekiranya sesuatu keadaan itu melanggar undang-undang Malaysia,” katanya lagi.-Berita RTM
