NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan siasatan terhadap dakwaan berlaku percanggahan sistem permohonan kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) yang dikatakan menimbulkan kekeliruan mengenai kelayakan pelajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya meminta sedikit ruang untuk membuat semakan terlebih dahulu berkenaan aduan terbabit yang berkemungkinan disebabkan gangguan sistem.
“Kita (KPM) akan buat semakan, dapatkan nama sekolah (yang terlibat) untuk membuat semakan adakah sistem itu benar-benar bermasalah.
“Bagi saya ruang sedikit untuk saya selesai (dakwaan ini) yang barangkali mungkin kerana ada gangguan yang sebegitu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas aduan segelintir ibu bapa yang mendapati nama anak mereka wujud dalam sistem yang menawarkan penempatan ke SBP, namun semakan di peringkat KPM menunjukkan pelajar terbabit tidak layak dan perlu mengemukakan rayuan.
Berdasarkan aduan terbabit, ibu bapa dimaklumkan kelayakan pelajar tidak boleh ditentukan berdasarkan sistem sekolah, sebaliknya perlu merujuk sistem KPM.
Keadaan itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa kerana paparan dalam sistem memberi gambaran pelajar layak, namun akhirnya perlu mengemukakan rayuan.-BH Online
