KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggariskan iltizam baharu pertahanan tahun ini, yang akan menumpukan kepada pemulihan kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui reformasi tatakelola yang tegas serta agenda pemodenan aset ketenteraan demi memperkukuh kedaulatan tanah air.
Dalam Perutusan Tahun Baharu yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM semalam, Mohamed Khaled mengumumkan lapan fokus utama Kementerian Pertahanan (MINDEF) seiring dengan perubahan dinamik landskap keselamatan global.
Selain itu, beliau turut memperkenalkan empat langkah azam pemulihan integriti yang akan dilaksanakan bagi memastikan kewibawaan ATM kembali pulih sepenuhnya.null
Beliau memilih untuk tidak berucap panjang mengenai rencana tahunan MINDEF kerana agenda itu boleh diperincikan pada masa akan datang.
Keputusan ini juga mengambil kira beberapa isu berbangkit sejak kebelakangan ini, justeru perutusan tahun baharu perlu dirombak supaya lebih relevan dan fokus.
Lapan fokus utama
Menurut Mohamed Khaled, fokus pertama MINDEF tahun ini ialah memastikan kesinambungan semua pencapaian dan usaha yang diperkenalkan semasa Malaysia memegang kepengerusian ASEAN tahun lalu.
Antaranya ialah penerimaan lebih 20 inisiatif strategik di bawah kerangka ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus. Ini merangkumi kolaborasi industri pertahanan ASEAN (ASEAN Defence Industry Collaboration), Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ASEAN Cyber Defence Network), keselamatan infrastruktur bawah laut kritikal (Critical Underwater Infrastructure Security), Kuala Lumpur Joint Declaration, beberapa eksesais maritim dan pelbagai inisiatif lain.
“Kita juga mempelopori kekuatan convening power Malaysia, iaitu keupayaan membawa pelbagai pihak berkepentingan ke meja rundingan dan dialog untuk mencari penyelesaian secara aman. Hasrat kita adalah untuk meneruskan komitmen Malaysia yang konstruktif dalam membentuk ASEAN yang kukuh, bersatu dan berdaya tahan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.
Fokus kedua ialah pengurusan ancaman di Laut China Selatan. Mohamed Khaled menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh leka kerana kawasan itu masih sarat dengan ketidaktentuan dan potensi konflik, khususnya melalui penggunaan grey zone tactics yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
“Malaysia akan terus mengurus hubungan diplomatik secara bijaksana dan berwaspada, termasuk dengan China,” katanya.
Fokus ketiga, menurut beliau, adalah pembangunan industri pertahanan negara.
“Malaysia perlu memiliki keupayaan pertahanan tempatan serta kedaulatan teknologi yang berdaya tahan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. Insya-Allah, bulan ini kita akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), yang menetapkan hala tuju jelas untuk membina industri pertahanan kukuh, berdaya saing dan mapan,” katanya.
Fokus keempat ialah pemodenan dan pemerkasaan kesiagaan aset pertahanan negara, selaras aspirasi pembangunan Angkatan Masa Hadapan. Tahun ini, beberapa aset baharu dijangka diterima, termasuk enam unit pesawat Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), tiga unit ANKA Medium Altitude Long Endurance – Unmanned Aerial System (MALE-UAS) serta lima bot Fast Interceptor Craft (FIC). Perolehan strategik lain termasuk sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD), Short Range Air Defence (SHORAD), Multi Role Support Ship (MRSS) dan Medium Range Air Defence (MERAD).
Fokus kelima, menurut Mohamed Khaled, adalah memartabatkan pertahanan menyeluruh melalui pembabitan segenap lapisan masyarakat. MINDEF akan mengarusperdanakan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) dalam pertahanan negara.
Model rintis WOGOS sudah dilaksanakan di Pulau Banggi, Sabah, tahun lalu sebagai bukti ATM mampu menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan dalam konteks keselamatan dan pembangunan komuniti luar bandar.
Fokus keenam ialah menitikberatkan kesejahteraan anggota ATM sebagai teras kekuatan pertahanan.
MINDEF akan terus meningkatkan kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dengan peruntukan RM426.4 juta bagi senggaraan RKAT dan blok penginapan pada 2026.
Program Ekonomi MADANI akan diperluas ke 30 kem ATM membabitkan 60 projek baharu, selain meneruskan Program Work-Based Learning (WBL) dengan peruntukan RM2 juta.
Fokus ketujuh ialah memperkasa kesejahteraan veteran ATM sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
“MINDEF komited menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada warga veteran supaya bantuan kebajikan, pembangunan kapasiti dan program peningkatan sosioekonomi dapat disalurkan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya.
Fokus kelapan pula membabitkan pelancaran beberapa pelan baharu bagi meningkatkan keunggulan kementerian, termasuk Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP).
Kedua-dua pelan ini dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026, dan akan menggerakkan transformasi pertahanan negara secara lebih fokus, realistik dan berkesan, demi membina warga pertahanan yang moden, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Pelarasan penting
Mengulas lanjut mengenai pemulihan integriti, Mohamed Khaled berkata, pelan dan strategi itu pastinya akan tersasar jika ada pihak yang mengutamakan kepentingan diri melebihi tanah air.
Justeru, MINDEF dan ATM perlu melakukan pelarasan penting untuk memulihkan kewibawaan.
l Tindakan pertama ialah memulihkan kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM.
l Kedua, membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional melalui rombakan pelan antirasuah serta semakan semula proses tender dan perolehan.
l Ketiga, pemulihan integriti dan tatakelola supaya tiada ruang untuk penyelewengan dan salah guna kuasa.
l Keempat, penguatkuasaan peraturan dan disiplin secara tegas, termasuk menghentikan buli dan budaya hedonisme yang bercanggah dengan tradisi hidup Islam.
Beliau turut menekankan kepentingan digitalisasi dan teknologi maklumat dalam semua proses pentadbiran MINDEF. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan membantu memantau proses perolehan dan pentadbiran, serta mengenal pasti kawasan yang berpotensi berlaku ketirisan dan penyelewengan.
Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah akan ditubuhkan untuk memastikan sebarang keraguan dan aduan disalurkan secara sistematik.
Selain itu, beliau menyeru agar MINDEF melaksanakan kerangka Environment, Social, and Governance (ESG) untuk memastikan kementerian lebih terbuka, telus, dinamik dan lestari.
“Amalan perkhidmatan mesti beranjak daripada pemikiran lapuk dan birokrasi yang tidak berkesan. Pasukan petugas khas akan ditubuhkan segera bagi membangunkan kerangka ESG yang sesuai dengan keperluan pertahanan negara,” katanya.
Dengan lapan fokus utama dan empat azam pemulihan integriti ini, Mohamed Khaled menegaskan, MINDEF bertekad untuk membina Angkatan Tentera yang berwibawa, profesional, dan berdaya tahan selari dengan aspirasi keselamatan negara pada era global yang penuh cabaran.-BH Online
