SHAH ALAM, 13 Disember – Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) terus membuktikan keberkesanan latihan berasaskan industri apabila merekodkan tahap kebolehpasaran graduan sebanyak 95.5 peratus tahun lalu, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal negara.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, pencapaian memberangsangkan itu dicapai hasil penawaran program latihan yang selari dengan keperluan semasa industri dan pasaran buruh, termasuk dalam sektor berteknologi tinggi dan kemahiran kritikal.
Daripada 33 kampus di seluruh negara termasuk dua kampus satelit di Sabah dan Sarawak, empat kampus, iaitu Pasir Gudang, Johor; Bukit Katil, Melaka; Kota Kinabalu, Sabah dan Kepala Batas, Pulau Pinang berupaya merekodkan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan.
“Kami tidak mempunyai data sejak penubuhan pada 1969, namun bagi tempoh 2010 hingga 2026, lebih sejuta pelajar telah dilatih di institusi ini dengan pencapaian cemerlang ADTEC JTM, daripada jumlah itu, 95.5 peratus atau 96 orang daripada 100 pelajar dilatih akan mendapat pekerjaan.
“Lebih 97.2 peratus majikan menyatakan kepuasan terhadap pekerja yang diambil, hasil tenaga kerja berkualiti yang dilahirkan dan ia kejayaan cemerlang kerana bukan semua institusi mampu memperoleh pencapaian sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke ADTEC JTM Kampus Shah Alam, di sini hari ini.
Datuk Seri R. Ramanan turut memaklumkan bahawa ADTEC JTM menjalinkan kerjasama dengan kira-kira 400 syarikat seperti Proton, Petronas dan Huawei dalam memastikan peluang pekerjaan terhadap graduan institusi itu.
Beliau turut menyasarkan untuk jumlah kerjasama berkenaan dapat ditingkatkan kepada 600 menjelang 2030.
Kementerian Sumber Manusia juga akan memperkasakan pembangunan institusi terbabit menerusi pemberian dana bergantung kepada keperluan dan kehendak di setiap kampus dalam memastikan pengoperasian ADTEC JTM kekal optimum sekali gus meningkatkan lagi keberkesanannya dalam melahirkan graduan berkualiti.
Dalam lawatannya hari ini, Datuk Seri R. Ramanan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADTEC JTM dengan Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES).
MoU berkenaan antara lain bakal memberikan latihan kemahiran serta peluang untuk diserap sebagai pekerja kepada penuntut Program Penyelenggaraan Kapal Terbang yang terpilih untuk mengikuti program itu.-Berita RTM
