PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memantau rapat dan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan program ‘Glamping with Pride’ yang dijadualkan Sabtu ini tidak diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya melalui JAIS akan mengambil tindakan proaktif dan memantau isu dengan rapat.
Tindakan tegas diambil susulan pihak penganjur yang dilapor bersikap keras kepala dan ingin meneruskan juga program terbabit meskipun terdapat bantahan.
“Betul. Pihak JAIS akan ambil tindakan susulan bersama dengan pihak PDRM,” katanya ketika ditanya media sama ada pihak JAIS akan bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa untuk memantau supaya penganjur tidak meneruskan hasrat menganjurkan program berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui dalam Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2026 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Terdahulu, media melaporkan penganjur program ‘Glamping With Pride’ akan meneruskan program itu di Hulu Langat Sabtu ini, walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Ia mendapat reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yang menggesa pengusaha chalet dan resort untuk tidak membuka pintu kepada penganjuran program yang dikaitkan dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) itu.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut memaklumkan akan turun padang bagi memastikan program itu dibatalkan.-BH Online
