Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kelulusan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 oleh Parlimen disifatkan sebagai langkah penting kerajaan dalam memperkukuh sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya lebih relevan, fleksibel dan selari dengan keperluan ekonomi serta pasaran pekerjaan masa hadapan.

Pindaan akta itu bertujuan memastikan, sistem latihan kemahiran negara tidak lagi bersifat kaku atau terhad kepada laluan konvensional semata-mata.

Langkah itu sebaliknya, memberi penekanan kepada latihan berasaskan kompetensi sebenar yang diperlukan industri dan boleh terus diaplikasikan di tempat kerja.

Menerusi pindaan itu kerajaan turut menegaskan, TVET dalam skop latihan kemahiran dan TVET dalam skop akademik bukan dua laluan yang terpisah, sebaliknya perlu bergerak seiring dan saling melengkapi sebagai satu ekosistem pembangunan modal insan negara yang holistik dan mampan.

Akta berkenaan juga mengiktiraf, kemahiran boleh diperoleh melalui pelbagai pendekatan termasuk latihan formal, pengalaman kerja, pembelajaran berasaskan tempat kerja serta pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran mengikut keperluan masing-masing.

Tambah baik SKMM

Antara penambahbaikan utama ialah pengukuhan pelaksanaan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran yang lebih fleksibel dan berperingkat.

Melalui pendekatan itu, individu boleh memperoleh pensijilan kemahiran secara modular tanpa perlu mengikuti keseluruhan program latihan jangka panjang, sekali gus memberi manfaat besar kepada pekerja sedia ada, belia bekerja, golongan bekerja sendiri serta individu yang ingin meningkatkan kemahiran selaras perubahan teknologi dan keperluan industri.

Selain itu, pindaan akta turut memberi penekanan kepada pengiktirafan pekerja pakar Malaysia, iaitu individu yang memiliki pengalaman luas, kepakaran mendalam dan sumbangan signifikan dalam bidang tertentu.

Kepakaran yang diperoleh melalui pengalaman industri kini boleh dinilai dan diperakui secara formal menerusi sistem pensijilan kemahiran negara, sekali gus mengangkat nilai pengalaman kerja sebagai aset penting dalam pembangunan modal insan.

Dalam melaksanakan agenda itu, peranan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diperkukuh sebagai agensi peneraju pembangunan standard kemahiran, pentauliahan, penilaian kompetensi, pensijilan serta penyelarasan ekosistem TVET negara.

Pembabitan industri secara langsung dalam pembangunan standard dan pelaksanaan latihan turut dipertingkat bagi memastikan kemahiran yang dilahirkan sentiasa sepadan dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Dr Kamaruzaman Md Ali, berkata pindaan akta itu memberi asas lebih kukuh untuk merealisasikan TVET sebagai laluan pembelajaran sepanjang hayat yang fleksibel dan inklusif.

“Melalui pengukuhan Sijil Kemahiran Modular Malaysia serta pengiktirafan pekerja pakar tempatan, kita memastikan kemahiran sebenar yang dimiliki rakyat Malaysia dinilai, diperakui dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri dan negara,” katanya.

Dari sudut pembangunan negara, pindaan akta itu turut menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Ekonomi MADANI, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, meningkatkan produktiviti serta menyokong pertumbuhan sektor ekonomi bernilai tinggi.

Secara keseluruhan, Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dilihat menyediakan asas lebih kukuh kepada pelaksanaan Revolusi TVET negara yang inklusif, fleksibel dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat serta industri.-BH Online