BANGI : Isu kos sara hidup dihadapi rakyat serta komitmen mempermudah urusan menjalani perniagaan terus menjadi agenda penting untuk diperhalusi serta menjadi keutamaan yang dibincang sepanjang Program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ini selepas pelbagai usaha dan pendekatan dilaksana sepanjang tempoh 38 bulan menerajui kerajaan mula menampakkan hasilnya.
“Keutamaan adalah untuk pastikan bukan hanya ekonomi negara terus berada di landasan betul, isu dihadapi rakyat, terutama sama ada kos sara hidup ataupun mudah untuk melakukan aktiviti-aktiviti perniagaan, ini menjadi satu keutamaan.
“Hasilnya daripada kestabilan (politik) yang kita peroleh sepanjang 38 bulan kerajaan MADANI mentadbir, benar-benar membuahkan hasil.
“Kita lihat pada hari ini, ringgit berada pada kedudukan yang sangat kuat. Kita tahu pelaburan meningkat, pengangguran pula berada pada kadar paling rendah dalam tempoh 14 tahun,” katanya pada sidang media selepas Program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 di sini hari ini.
Program sehari itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.
Turut sama hadir dalam permukiman itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Perpaduan, kecuali Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Mengulas lanjut, permukiman hari ini turut melihat pelbagai indikator yang membuktikan bahawa negara kini berada pada landasan yang betul dan tepat.
“Kita juga ada sentuh mengenai keperluan untuk pastikan banyak hasil daripada dasar yang memungkinkan ekonomi bertambah baik ini, akhirnya dapat diterima menjadi satu kebaikan dan dimanfaatkan oleh rakyat, (kemudian) dipulangkan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut mengamanahkan supaya hasil perbincangan daripada permukiman hari ini akan diterjemahkan menjadi siri program yang akan dilaksana dalam masa terdekat.
“(Namun bentuk program itu) belum boleh diumumkan, perlu ada sedikit penelitian dan akan disebut bila sudah menerima persetujuan dalam Jemaah Menteri
“(Namun) ini memberi keyakinan kepada Jemaah Menteri bahawa hala tuju bagi kerajaan Madani dalam tempoh berbaki kurang dua tahun ini sangat jelas, sangat fokus dan akan mengutamakan hasil untuk rakyat,” katanya.-BH Online
