Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING, 11 Januari– Jumlah penduduk terjejas banjir di Sarawak terus menunjukkan trend peningkatan apabila 41 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat pagi ini, melibatkan beberapa bahagian utama di negeri itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan PPS berkenaan membabitkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri yang kini menempatkan sebanyak 3,890 penduduk daripada 1,175 keluarga.

Jumlah itu bertambah berbanding 3,546 penduduk daripada 1,030 keluarga di 40 PPS, malam tadi.

Menurut JPBN Sarawak, antara PPS yang mencatat peningkatan pemindahan penduduk terjejas banjir adalah di bahagian Kuching, khususnya di daerah Serian yang dikenal pasti sebagai kawasan zon merah bencana, melibatkan PPS Ranchan dan PPS Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 29.

Selain itu, trend peningkatan turut direkodkan di bahagian Sibu dan Bintulu, masing-masing membabitkan PPS Bukit Arip dan PPS Dewan Suarah Bintulu. -BERNAMA