Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.

“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam.

“Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010. 

“Penduduk sekitar sudah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam,” menurut titah kenyataan baginda, hari ini. 

Menerusi titah sama, Sultan Selangor turut menegaskan kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia yang juga terletak di Kuala Langat dan baginda menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan.

“Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar. Untuk itu, baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar. 

“Atas sebab itu juga, baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang sudah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk,” menurut titah kenyataan itu. 

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mempersoalkan sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini membabitkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan serta kelulusan projek berkenaan.

Baginda turut berkenan mengimbas kembali inisiatif kerajaan negeri yang pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi mengenai penternakan babi secara moden, namun, dikhabarkan bahawa kos pemodenan itu menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan.

“Jadi, baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.

“Baginda menegaskan bahawa baginda tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.

“Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor,” titah baginda.

Media sebelum ini melaporkan, penternakan babi di Selangor hanya dibenarkan beroperasi di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini. 

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata, ia bagi memudahkan penyelarasan dan titik kawalan penyakit antaranya demam babi Afrika (ASF). 

Beliau menjelaskan, keputusan hasil perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dibuat bagi tempoh tiga tahun sebelum semua ladang babi akan berpindah ke Bukit Tagar.-BH Online