KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan mempertahankan kestabilan politik, meneruskan pembangunan serta menjaga kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Sabah.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata sepanjang tempoh kempen selama 14 hari, gabungan itu akan memberi tumpuan kepada pendekatan berteraskan rakyat dan berasaskan fakta.
“Ia dengan menyediakan ruang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan calon serta memahami visi, misi dan pelan pembangunan mereka.
“Pendekatan ini menekankan pendengaran aktif, komunikasi yang jelas dan penyelesaian konkrit terhadap isu-isu tempatan, selaras dengan prinsip kepimpinan BN yang berkesan dan berpandangan ke hadapan,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian dalam satu kenyataan selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Dewan Sri Lamag, di sini hari ini.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata gabungan itu menampilkan calon berwibawa yang bersedia berkhidmat di Kinabatangan dan Lamag.
Mohd Kurniawan Naim Moktar dipertaruhkan BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan disandang Allahyarham bapanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, manakala Mohd Ismail Ayob dinamakan gabungan itu bagi DUN Lamag.
Jaffry berkata, pemilihan calon dibuat dengan teliti, mengambil kira kualiti kepimpinan, penerimaan masyarakat setempat serta keupayaan mereka untuk berkhidmat secara berkesan.
“Mohd Kurniawan Naim membawa semangat generasi muda progresif dan memahami rapat aspirasi rakyat, manakala Mohd Ismail pula berpengalaman serta memahami keperluan komuniti Lamag, sekali gus memastikan suara rakyat terus dibawa ke DUN.
“Saya mengajak semua jentera parti serta pengundi Kinabatangan dan Lamag agar memberikan sokongan penuh kepada calon-calon BN demi kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan masa depan lebih terancang serta makmur,” katanya.
Mohd Kurniawan Naim akan berdepan calon Parti Warisan (Warisan), Datuk Saddi Abdul Rahman dan calon Bebas, Goldam Hamid, manakala Mohd Ismail bertanding melawan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian Allahyarham Bung Moktar pada 5 Disember lalu, hanya beberapa hari selepas beliau mempertahankan kerusi DUN Lamag untuk penggal kedua.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Januari sebagai hari pengundian awal dan PRK pada 24 Januari.-BH Online
