KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, gaji bermaruah dan munasabah serta perlindungan pekerja secara menyeluruh di bawah kerangka ekonomi MADANI.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan, berkata KESUMA juga akan terus memperkukuh agenda pekerjaan berkualiti melalui latihan, peningkatan kemahiran dan reformasi pasaran buruh supaya pertumbuhan ekonomi negara benar-benar diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, lestari serta mampan.
Beliau berkata, komitmen itu disuarakan KESUMA susulan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran negara pada November lalu yang mencatatkan penurunan ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun apabila berada pada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun.
“Ia sekali gus membuktikan pasaran buruh negara berada pada landasan pemulihan dan pertumbuhan yang stabil serta ketahanan ekonomi Malaysia yang semakin kukuh.
“Angka ini akan terus menjadi keutamaan KESUMA untuk memperkukuh dasar pembangunan sumber manusia secara menyeluruh dan berfokus,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Semalam, Survei Tenaga Buruh oleh DOSM menunjukkan kadar pengangguran negara pada 2.9 peratus, itu membabitkan bilangan penganggur seramai 518,400 orang iaitu yang terendah sejak 11 tahun lalu, dengan kali terakhir direkodkan pada November 2014.
Pada masa sama, Ramanan berkata, penurunan kadar pengangguran itu disokong oleh peningkatan bilangan guna tenaga yang mencecah 17.09 juta orang.
Katanya, sementara nisbah guna tenaga kepada populasi meningkat kepada 68.8 peratus, menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia berjaya memasuki pasaran pekerjaan.
Beliau berkata, komposisi guna tenaga juga menunjukkan asas pasaran buruh yang stabil, dengan kategori pekerja bergaji merangkumi 74.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga, menandakan peningkatan pekerjaan formal dan perlindungan sosial yang lebih baik kepada pekerja.
“Lebih penting, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) kekal kukuh pada 70.9 peratus, mencerminkan keyakinan rakyat terhadap prospek ekonomi negara serta keupayaan pasaran buruh untuk menyediakan peluang pekerjaan yang stabil dan berkualiti.
“Penyertaan tenaga buruh yang tinggi ini menjadi petunjuk jelas bahawa asas ekonomi negara berada dalam keadaan yang sihat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, antara usaha dilakukan KESUMA ialah pemerkasaan ekosistem kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran yang dipacu oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, HRD Corp dan agensi berkaitan.
Katanya, selain itu pelaksanaan dasar gaji progresif dan agenda pekerjaan berkualiti akan ditekankan bagi meningkatkan pendapatan serta produktiviti pekerja.
“Kita juga akan memastikan pengukuhan perlindungan sosial pekerja, termasuk penambahbaikan undang- undang perburuhan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
“Kerajaan MADANI melalui KESUMA akan terus komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai adalah inklusif, mampan dan berteraskan kebajikan rakyat, supaya tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara.
“Statistik positif ini bukanlah titik penamat, sebaliknya menjadi pemangkin untuk KESUMA terus memperkukuh pasaran buruh Malaysia selaras dengan keperluan industri semasa serta bersifat bersedia ke arah masa depan bagi memenuhi tuntutan masa hadapan dan masa depan ekonomi negara yang lebih berdaya saing,” katanya. -BH Online
