KUALA LUMPUR: Datuk Seri Awar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus mengambil tindakan terhadap ‘ikan besar’, termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas menteri dalam usaha membanteras rasuah.
Perdana Menteri, berkata rasuah bukan saja berleluasa namun bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang sangat besar.
“Walaupun ada kejayaan, kita masih berdepan isu besar. Anda juga sedar bahawa dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan tidak begitu kuat.
“Setiap kali kerajaan menyentuh pemimpin besar atau tokoh korporat utama, akan ada suara yang mempertikaikan tindakan berkenaan,” ketika sidang media selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara, hari ini.
Anwar berkata, beliau juga akan terus memantau Kabinet serta jentera kerajaan dengan sangat rapi.
Sementara itu, ditanya mengenai keperluan melakukan reformasi besar-besaran dalam pasukan pertahanan negara susulan siasatan kes rasuah dalam pasukan itu , Anwar, berkata jika dibandingkan beberapa tahun lalu, tahap penguatkuasaan sekarang adalah berkesan dan agak membanggakan.
“Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Tetapi saya memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Imigresen dan lain-lain,” katanya.
Kelmarin, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan SPRM menahan reman bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat.
Turut ditahan reman isteri bekas panglima t yang turut ditahan SPRM pula direman selama enam hari bermula kelmarin hingga Selasa, manakala seorang lagi isterinya direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini.
BH sebelum ini melaporkan terdapat beberapa individu lain dikenal pasti SPRM terbabit dalam rasuah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat.
Petunjuk terbaharu itu diketahui dalam siasatan agensi berkenaan terhadap beberapa projek tender perolehan TDM yang sedang giat dijalankan SPRM sejak beberapa minggu lalu.
SPRM juga menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.
Azam ketika mengesahkan perkara itu berkata, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.-BH Online
