Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 9 Januari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi mengkaji keperluan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kajian semula itu mengambil kira permintaan ibu bapa yang masih mahu peperiksaan berkenaan dipertimbangkan semula.

Hasil dapatan majlis itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Apa sahaja peperiksaan yang disebut, maknanya yang berada di dalam polemik masyarakat itu.

“Saya minta nanti Dr Azam (Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad), yang akan memberikan pandangan kementerian dan ahli-ahli majlis penasihat itu nanti akan membincangkan laporan kaji selidik.

“Apa sahaja keputusan itu kita serahkan kepada ahli Kabinet khususnya diteliti untuk dibuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu di kementeriannya di sini.

Untuk rekod, pada 2021 UPSR telah dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPM akan terus bergerak maju tahun ini dengan mengutamakan keperluan rakyat dan pelajar yang sekali gus memberi kesan positif pada ekosistem pendidikan negara.-Berita RTM