Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 104 bahagian seluruh negara sudah menghantar usul berhubung pengampunan penuh terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini. 

Usul berhubung pengampunan untuk Najib adalah yang paling banyak diterima Ibu Pejabat UMNO daripada keseluruhan 662 susulan persidangan bahagian-bahagian tahun lalu.

UMNO mempunyai 191 bahagian di seluruh negara, termasuk bahagian di luar negara. Bahagian UMNO lazimnya selari dengan kawasan Parlimen dan setiap bahagian memayungi cawangan di peringkat akar umbi. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dalam aspek pendidikan – sebanyak 56 bahagian mengusulkan supaya kerajaan memperluaskan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara menyeluruh kepada golongan muda, termasuk penambahan kolej komuniti serta peluasan kurikulum TVET.

Bagaimanapun, Asyraf berkata, pihaknya setakat ini tidak terima usul untuk UMNO keluar Kerajaan Perpaduan. 

“Secara rasmi, tidak ada satu pun usul yang dihantar kepada Ibu Pejabat UMNO yang menuntut parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan. 

“Bagaimanapun, kita tidak menghalang jurucakap negeri untuk menyentuh isu itu. Jadi, ia mungkin dibangkitkan atau dicetuskan dalam perbahasan,” katanya pada sidang media khas sempena PAU, di sini, hari ini. 

Menurut beliau, pihak Ibu Pejabat UMNO tidak pernah menghalang sebarang pandangan kerana PAU adalah medan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kepimpinan dan ahli parti. 

“Perhimpunan Agung UMNO secara tradisinya adalah medan muhasabah dan introspeksi parti,” katanya. 

Tak jemput wakil parti Kerajaan Perpaduan

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi memaklumkan PAU kali ini tidak menjemput wakil parti daripada Kerajaan Perpaduan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu dalaman. 

“Kali ini kita tidak menjemput mana-mana pihak luar kerana mahu ahli dan perwakilan bercakap secara terbuka mengenai isu dalaman parti. 

“UMNO ini kaya dengan adab dan tradisi kemelayuan. Jika ada pihak luar dijemput, perwakilan mungkin berasa terbatas untuk meluahkan pandangan secara terbuka,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa UMNO mengamalkan budaya bersopan santun dalam menyampaikan pandangan, selaras dengan tradisi parti. 

“UMNO bukan macam setengah pihak yang boleh bercakap secara terbuka, tapi kita ini secara tradisi Melayunya, ada bersopan santun,” katanya. 

PAU kali ini akan diadakan dari 14 hingga 17 Januari 2026, selepas ditangguh daripada jadual asal pada 26-29 November 2025 untuk memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.-BH Online