KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menzahirkan nasihat supaya keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara serta dipertahankan.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa pemeliharaan dua prinsip Rukun Negara itu amat penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap tahap kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Rakyat berhak berasa kecewa apabila terdapat pihak berkuasa yang didapati menyalahgunakan kedudukan dan terbabit rasuah,” titah Seri Paduka Baginda.
Titah nasihat itu dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di sini, hari ini. null
Pada pertemuan berkenaan, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat mengenai isu semasa berkaitan perundangan negara, termasuk usaha pengukuhan tatakelola serta reformasi institusi ke arah memerangi rasuah.-BH Online
