Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kepemimpinan global masih gagal menangani krisis kemanusiaan di Gaza, sambil memberi amaran sifat hipokrit dan kegagalan moral terus menjejaskan usaha menegakkan keadilan serta akauntabiliti.

“Bagi saya, saya sentiasa menggunakan istilah hilangnya pertimbangan hati nurani dan kekurangan nilai moral. Malah, ia adalah satu sikap hipokrit serta pengabaian terhadap kewarasan dan akhlak,” katanya dalam satu temu bual bersama penyiar awam Turkiye, program One on One TRT World, semasa lawatan beliau ke Turkiye baru-baru ini.

Perdana menteri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bermula Selasa atas undangan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin lama antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata skala krisis itu menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana masyarakat antarabangsa memahami akar sejarah isu Palestin.

“Maksudnya selepas semua yang berlaku di dunia, anda masih gagal memahami latar sejarah Palestin? Saya tidak percaya,” katanya.

Beliau berkata kegagalan memahami isu tersebut tidak boleh dijelaskan oleh kejahilan semata-mata.

“Kecuali kalau anda mengambil pendirian Zionis fanatik yang sangat kuat, atau pendirian perkauman atau antiwarna, apa sahaja. Tetapi tiada sebab atau alasan mengapa seseorang tidak boleh memahami,” katanya.

Dengan membuat perbandingan dengan sejarah Eropah sendiri, Anwar mempersoalkan sama ada manusia telah mengambil iktibar daripada kekejaman masa lalu.

“Jadi saya ingat di Jerman, apa jadi pada kemanusiaan kita? Apa jadi pada pengalaman sejarah kita di Jerman? Tidakkah kita belajar apa-apa?” katanya, sambil menegaskan bahawa pengajaran sejarah seolah-olah diabaikan.

Anwar berkata situasi di Semenanjung Gaza bukanlah perkembangan baharu, sebaliknya mencerminkan kesinambungan ketidakadilan kolonial.

“Kolonialisme sepatutnya sudah berakhir, selesai dan mati, tetapi kolonialisme masih wujud. Ia berkembang di Palestin, di Gaza, di depan mata berbilion orang,” katanya sambil menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin telah berlarutan sejak puluhan tahun.

“Orang mati, orang diperlakukan seperti hamba, dan bukan tahun ini, bukan selepas 7 Oktober, tetapi berdekad-dekad, setengah abad, lebih daripada setengah abad,” katanya.

Anwar memberi amaran kegagalan berterusan masyarakat antarabangsa untuk bertindak akan membawa akibat lebih besar.

“Ia hanya akan mengundang lebih banyak kemarahan, permusuhan, ekstremisme,” katanya.

Mengenai akses kemanusiaan, beliau menyuarakan rasa kecewa terhadap sekatan berterusan terhadap penghantaran bantuan.

“Ratusan kontena menunggu, terbiar, untuk menyeberangi sempadan. Dan orang mati di sebelah sana,” katanya sambil menekankan kesan terhadap orang awam, terutama kanak-kanak yang mati akibat kelaparan akibat sekatan itu.– BERNAMA