Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) tidak mengambil mudah saingan yang bakal dihadapi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata ia susulan terdapat calon dikenali yang diketengahkan parti lain pada kedua-dua PRK berkenaan, walaupun yakin BN mempunyai kelebihan.

“BN mungkin mempunyai kelebihan dalam memperoleh undi simpati atas pemergian bekas Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, namun jangan terlalu yakin. Kami bukan ingin meraih undi simpati atas kematian… tetapi saya kira, tidak ada gunanya kita tukar kepada parti lain kerana sebelum ini parti yang menang di kedua-dua kerusi adalah BN.

“Berilah peluang kepada dua calon anak muda untuk mengekalkan kemenangan BN,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pakej Kerja 25 Projek Lebuhraya Pan Borneo di sini hari ini.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Disember lalu.

Anak kepada Allahyarham Bung Moktar, Mohd Naim Kurniawan yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan dinamakan sebagai calon mewakili BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang lalu, Mohd Ismail Ayob atau dikenali Miha dipertaruhkan di DUN Lamag.

Parti Warisan pula menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan manakala Ahli Majlis Tertinggi parti itu Mazliwati Abdul Malek dinamakan sebagai calon bagi DUN Lamag.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK berkenaan, 24 Januari sebagai hari pengundian manakala pengundian awal ditetapkan pada 20 Januari. – BERNAMA