PUTRAJAYA: Bahagian Ancaman Ekstremis dan Sosial (E2) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi taklimat berkenaan gerakan kultus dari Korea Selatan pada minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya tidak akan bersandar kepada spekulasi atau sumber tidak rasmi dalam menangani dakwaan kewujudan gerakan itu.
Katanya, beliau perlu lebih cermat dan berhati-hati dalam perkara ini serta memerlukan maklumat mengenainya daripada E2.
“Tugas hakiki E2 adalah mengesan sebarang bentuk ajaran salah atau ajaran sesat yang ada di negara ini bagi semua agama,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih memantau gerakan kultus dari Korea dan ketika ini mengumpul maklumat lengkap mengenainya sebelum tindakan lanjut diambil.
Gerakan kultus merujuk kepada bentuk pegangan melampau terhadap tokoh tertentu sehingga akal dan pertimbangan rasional diketepikan.
Ia biasanya dibina atas ketaatan melampau kepada tokoh sehingga segala perbuatannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam Facebooknya sebelum ini mendedahkan penularan gerakan menggunakan nama ‘Jesus’ dengan pelbagai dakwaan sangat janggal dan menyimpang yang mana aliran Kristian utama juga tidak mengiktiraf mereka.-BH Online
