Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Cadangan mengenakan had tempoh maksimum jawatan Perdana Menteri dan ketua pentadbiran kerajaan negeri kepada dua penggal atau 10 tahun, perlu mengambil kira perubahan dasar sedang dibangunkan khususnya bagi projek yang mengambil jangka panjang.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan berhubung cadangan itu khususnya dengan melihat kepada rancangan pembangunan yang sedang berjalan.

Beliau berkata, walaupun had tempoh berkenaan mampu mengelak isu penyalahgunaan kuasa, namun penukaran kepimpinan tertinggi kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri belum menjamin pengganti kelak dapat meneruskan dasar atau polisi sama. 

“Ada sesetengah pemimpin mempunyai wawasan yang bagus apabila umum (projek) yang mungkin mengambil masa lebih 10 tahun.

“Namun, oleh kerana sekatan (had) 10 tahun itu, maka tiada lagi orang yang boleh menyambung dan menyempurnakan misi itu. Jadi, tak mustahil suatu ketika nanti ada pertukaran kerajaan atau ada (situasi) mahu mencari ganti pemimpin yang hebat itu susah. Sebab itu saya lihat ada pro dan kontra cadangan itu,” katanya selepas perasmian pejabat operasi baharu A-Asign Corporation Sdn Bhd di Jalan Basco Kepayang 1, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Mohd Azlan Helmi.

Isnin lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, akan dibentangkan kerajaan sebagai satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan dan antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Sementara itu, Saarani berkata, pelaksanaan tempoh had jawatan itu pada peringkat negeri memerlukan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak yang turut memerlukan perkenan Sultan Perak.

“Di negeri, ia akan membabitkan undang-undang tubuh negeri. Jika perkara itu hendak dibuat, perlu ada pindaan kepada undang-undang tubuh negeri dan kita perlu mengadap Sultan Perak terlebih dulu,” katanya.-BH Online