KUALA LUMPUR: Inisiatif Dapur Siswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diharap dapat memastikan tiada mahasiswa, khususnya golongan kurang berkemampuan, terpaksa “mengikat perut” akibat tekanan kewangan.
Peruntukan RM15 juta bagi program itu dilihat sebagai bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap pelbagai aspek kehidupan rakyat, termasuk kesukaran yang dialami sebahagian mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Afiq Hasraf Hazly, 22, menyifatkan peruntukan untuk Program Bank Makanan Dapur Siswa sebagai langkah signifikan dalam mengekalkan kebajikan asas pelajar.
“Isu kebajikan makanan bukan perkara kecil dan baharu; ia sangat dekat dengan mahasiswa. Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan terhadap realiti yang dihadapi pelajar, khususnya mereka yang terkesan dengan tekanan kewangan dan peningkatan kos sara hidup.
“Kami menyambut baik usaha ini kerana inisiatif ini sedikit sebanyak membantu mahasiswa memastikan mereka tidak perlu memilih antara kelangsungan hidup dan komitmen akademik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Muhammad Afiq berkata program Bank Makanan Dapur Siswa memberi impak besar kepada pelajar B40 yang berdepan kekangan kewangan, sekaligus membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian.
Seorang penuntut Universiti Malaya, Nur Atiqah Yusof, 24, berkata inisiatif ini amat membantu dalam mengurangkan beban harian mahasiswa, terutamanya mereka yang bergantung kepada Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Kos sara hidup, khususnya di bandar besar, amat membebankan kerana semuanya mahal. Jika bergantung pada pinjaman PTPTN mahupun biasiswa, jumlah itu kurang mencukupi.
“Saya beli nasi di kafetaria sehari dua kali pun dah mencecah RM10. Itu harga minimum; jika nak kurangkan lagi, terpaksa ‘ikat perut’,” katanya.
Sementara itu, penuntut USM, Wan Mohamad Shafiq Wan Hamid, 24, melihat peruntukan itu sebagai langkah positif kerajaan dalam menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar kurang berkemampuan, terutama dalam mendapatkan makanan yang mencukupi.
“Majoriti mahasiswa tidak mempunyai pendapatan tetap, jadi kemudahan makanan percuma atau pada harga rendah ini berjaya meringankan beban mereka.
“Sebelum ini, saya pernah mendapat kemudahan Bank Makanan. Apa yang saya lihat semuanya positif kerana makanan yang diperoleh sihat dan berkhasiat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pendedahan mengenai Dapur Siswa diperluas supaya lebih ramai mahasiswa yang memerlukan dapat meraih manfaat, selain menambah stok makanan melalui kerjasama dengan pihak swasta.
Seorang ibu, Hasina Anuar, 66, turut menyokong inisiatif Dapur Siswa sebagai langkah yang sangat baik dalam membantu meringankan beban anaknya yang sedang melanjutkan pengajian di universiti.
Beliau berkata keluarganya tergolong dalam kategori B40 dan asnaf, maka inisiatif tersebut amat membantu dari segi kewangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 pada Isnin, mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif Dapur Siswa di bawah KPT.
Pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan ini adalah antara usaha kerajaan untuk mengurangkan isu pelajar yang memerlukan bantuan makanan, serta memastikan kebajikan mereka terbela sepanjang menuntut ilmu di menara gading.– BERNAMA
