PUTRAJAYA: Inisiatif Mahkamah Buruh Bergerak dijangka bermula selewat-lewatnya Ogos ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata sebagai permulaan, tiga unit kenderaan diubahsuai khas akan beroperasi di Semenanjung bagi memudahkan urusan tenaga kerja yang berada di luar bandar atau tiada akses kepada perkhidmatan Mahkamah Buruh.
Katanya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan sebagai permulaan untuk inisiatif Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ini yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Ini adalah satu inisiatif yang akan menyenangkan proses bagi semua orang. Tempoh sehingga Ogos ini bagi memastikan JTKSM mempunyai pelan pelaksanaan Mahkamah Buruh Bergerak ini supaya maklumat mengenainya dapat disebarkan.
“Ia bagi membolehkan tenaga kerja tahu di mana ia akan berpusat dan bagaimana pergerakan perkhidmatan itu. Jadi memang ambil masa sedikit. Semua ini telah dirancang tetapi perlulah ambil masa untuk pelaksanaannya.
“Itu yang kita kata akan mulakan pada Ogos, tetapi mungkin akan lebih cepat,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja ke JTKSM, di sini, hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Khairil Firdaus Akbar Khan; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi.
Pada masa sama, Ramanan berkata, proses pemerkasaan Mahkamah Buruh melalui melalui pemasangan Sistem Perekodan Digital (SPD) diteruskan, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.
Sebelum ini, katanya, sistem berkenaan sudah dipasang di 12 Mahkamah Buruh sejak 2024 dan tahun ini ia akan dilaksanakan di enam lagi fasiliti di Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Menyifatkan ia sebagai pengubah keadaan, Ramanan berkata, ia mempercepatkan prosiding perbicaraan, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan rekod kes buruh yang lebih sistematik dan efisien, selaras agenda pendigitalan negara.
“Sekarang kita buat penambahan kerana kita lihat memang berjaya merekodkan secara digital dan menyenangkan proses. Jadi, bagi 2026, kita tambah lagi enam,” katanya.
Selain itu, Ramanan berkata, pembangunan Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu (SPPB) bagi menggantikan kaedah perekodan data sedia ada yang telah berusia lebih 20 tahun juga akan dilaksanakan bermula tahun ini.
Katanya, ia akan menggunakan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), analisis data raya, ‘cloud computing’ dan AI chatbot, membabitkan peruntukan sebanyak RM9.25 bagi tempoh 36 Bulan.
Sementara itu, Ramanan berkata, KESUMA juga akan menggabungkan tiga jabatan utama perburuhan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan undang-undang buruh.
Katanya, ia membabitkan JTKSM, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan.
“Penggabungan itu dibuat kerana fungsi ketiga-tiga jabatan berkenaan saling berkait dan berada dalam rantaian isu sama, yang memerlukan satu penyelarasan bawah satu struktur pentadbiran lebih bersepadu.
“Langkah itu juga bertujuan menangani kekangan sumber manusia, khususnya kekurangan pegawai penguat kuasa tenaga kerja,” katanya.
Ketika ini ada kira-kira 300 pegawai penguat kuasa JTKSM di Semenanjung dan dianggarkan 100 lagi di Sabah dan Sarawak.
Ramanan berkata, penggabungan itu membolehkan perkongsian tenaga kerja dan kepakaran termasuk dalam pengoperasian Mahkamah Buruh termasuk Mahkamah Buruh Bergerak, selain mengurangkan keperluan rundingan berasingan antara jabatan bagi isu sama.-BH Online
