ANKARA: Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye terus diperkukuh terutama dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi dan latihan serta pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara.
Perkara itu dibincangkan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan, Sekretariat Industri Pertahanan Presiden Turkiye, Prof Dr Haluk Gorgun, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara itu.
Anwar berkata, pertemuan berkenaan membuka ruang perbincangan membina ke arah mempertingkat kerjasama pertahanan dua hala.
“Kami turut menyentuh kerjasama sedia ada yang terjalin menerusi syarikat-syarikat pertahanan kedua-dua negara, dengan penegasan bahawa usaha ini wajar diperkasakan ke tahap lebih strategik dan menyeluruh,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, pendekatan itu berlandaskan prinsip saling melengkapi dan manfaat bersama, selari kepentingan keselamatan serantau serta pemeliharaan kedaulatan negara.
Anwar berada di Turkiye untuk lawatan rasmi pertamanya bermula 6 hingga 8 Januari.
Beliau dijadual menghadiri sambutan rasmi di Kompleks Presiden di Ankara hari ini, disusuli pertemuan empat mata dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia–Turkiye.-BH Online
