KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau situasi geopolitik global termasuk konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela dari perspektif ekonomi terutamanya bagi menilai potensi impaknya terhadap pergerakan harga minyak.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata secara dasarnya, kerajaan tetap yakin bahawa sasaran fiskal yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 akan tercapai walaupun terdapat sebarang kejadian di pentas global.
“Dari sudut positif, apa yang telah kita lakukan adalah bahawa melalui reformasi fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan, kita sedar bahawa kita telah secara beransur-ansur mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan minyak untuk fiskal.
“Tiada sebab untuk percaya bahawa kita tidak akan dapat mencapai matlamat Belanjawan 2026,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘Fireside Chat: Balancing Growth, Fiscal and The Global’ pada Hari Korporat Malaysia anjuran CGS International di sini, hari ini.
Ketika sesi ‘Fireside Chat: Balancing Growth, Fiscal and The Global’, Johan menegaskan bahawa kerajaan amat yakin untuk mencapai sasaran defisit fiskal pada 3.8 peratus bagi 2025.
Namun begitu, beliau juga menekankan bahawa terdapat potensi peningkatan sederhana bagi defisit fiskal untuk mencatatkan 3.7 peratus berbanding sasaran 3.8 peratus, bergantung kepada data muktamad pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat.
“Apabila kita menyemak semula anggaran pertumbuhan pada Julai tahun lalu dan menurunkannya kepada antara 4 hingga 4.8 peratus, ia adalah dipengaruhi oleh data separuh pertama tahun di mana pertumbuhan adalah 4.4 peratus untuk dua suku pertama.
“Diakui, pertumbuhan suku ketiga pada 5.2 peratus sememangnya merupakan kejutan yang menyenangkan… Jika momentum ini berterusan pada suku keempat, kita berharap berada di hujung atas julat, mungkin pada 4.8 peratus.
“Melalui asas (denominator) yang mungkin sedikit lebih baik daripada apa yang telah kita ramalkan semasa menyediakan belanjawan, mungkin terdapat potensi peningkatan sederhana daripada 3.8 peratus kepada 3.7 peratus (jika pertumbuhan lebih tinggi),” katanya.-BH Online
