PETALING JAYA, 7 Januari – Kerajaan menegaskan komitmen untuk meneruskan inisiatif pas perjalanan My50 sebagai usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, meskipun kos subsidi dianggarkan mencecah sekitar RM1.2 bilion setahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata peruntukan rasmi kementerian sebanyak kira-kira RM200 juta tidak mencukupi berikutan tuntutan sebenar daripada pengendali perkhidmatan, termasuk Prasarana adalah jauh lebih tinggi.
“Setiap bulan, kerajaan menyalurkan subsidi kira-kira RM100 juta bagi pengguna My50. Ini bermakna dalam tempoh setahun, jumlah subsidi mencecah lebih RM1.2 bilion. Namun, peruntukan rasmi hanya RM200 juta, menyebabkan sebahagian kos perlu ditanggung oleh pihak pengendali,” katanya.
Menurut beliau, meskipun berdepan kekangan bajet, kerajaan tetap mengekalkan inisiatif My50 sehingga hujung tahun lalu dengan tambahan peruntukan pada Disember, dan komitmen yang sama diteruskan bagi tahun ini, termasuk usaha mendapatkan bajet tambahan.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) turut menyokong penambahan fasiliti Prasarana melibatkan van dan bas bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan serta kesalinghubungan perjalanan.
Bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap nilai sebenar subsidi kerajaan, Prasarana dan Touch ‘n Go eWallet akan memperkenalkan ciri penjejak penjimatan (savings tracker) dalam aplikasi Touch ‘n Go bermula 19 Januari.
“Menerusi ciri ini, pengguna boleh melihat setiap hari jumlah penjimatan yang mereka nikmati serta kos sebenar perjalanan. Ramai beranggapan tambang RM50 itu biasa, sedangkan kos sebenar boleh mencecah RM200 hingga RM300 sebulan bagi pengguna harian,” katanya dalam sidang media selepas sesi pembentangan laporan prestasi 2025 dan pelan 2026 di Menara Prasarana hari ini.
Tambah beliau, inisiatif itu bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat memanfaatkan pengangkutan awam serta menyokong pendigitalan sistem pengangkutan negara.
Selain subsidi, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kemudahan sokongan seperti laluan pejalan kaki dan akses ke stesen bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.-Berita RTM
