Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Visi jangka panjang Malaysia adalah menjadikan negara ini sebagai hab latihan penerbangan diiktiraf di ASEAN yang menawarkan kemudahan bertaraf dunia, teknologi simulasi termaju, pematuhan dengan piawaian global dan penekanan terhadap keselamatan dan kelestarian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata memperkukuh kapasiti latihan penerbangan negara bukan saja meningkatkan keupayaan industri, malah membawa limpahan ekonomi yang luas kepada Malaysia.

“Tenaga kerja penerbangan yang mahir menyokong syarikat penerbangan, lapangan terbang, operasi penyelenggaraan pesawat, perkhidmatan keselamatan, sektor pelancongan dan logistik, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada pelancaran bangunan simulator baharu MAB Academy, cabang latihan dan pembangunan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.

Loke menyifatkan pelancaran bangunan simulator baharu MAB Academy sebagai satu pencapaian penting ke arah merealisasikan visi negara menjadi hab latihan penerbangan yang diiktiraf di rantau ini.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan menyokong penuh inisiatif itu, termasuk memastikan keselarasan peraturan, pengawasan keselamatan yang ketat serta kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan demi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri penerbangan serantau.

Sementara itu, Izham berkata, pelancaran bangunan simulator baharu MAB Academy menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan transformasi jangka panjang MAB.

Beliau berkata, MAB Academy ialah pusat latihan penerbangan pertama di Malaysia yang mencapai pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Menurutnya, tumpuan MAG sentiasa kepada penyediaan profesional penerbangan untuk realiti operasi dan kemudahan baharu itu mengukuhkan komitmennya dengan memastikan latihan adalah relevan, ketat dan berasaskan pengalaman dunia sebenar.

“Pada 2025 saja, MAB Academy telah menjalankan lebih 5,000 kelas merentasi penerbangan, hospitaliti dan pembangunan profesional – mewakili lebih 144,000 hari latihan pelajar.

“Kira-kira 50 peratus latihan ini tertumpu kepada program berkaitan juruterbang dan krew kabin, termasuk pembangunan lebih 400 kru kabin baharu dan lebih 70 juruterbang kadet baharu, menyokong bakat penerbangan dengan melahirkan profesional terlatih keselamatan dan sedia industri,” katanya.

Bangunan Simulator yang dilengkapi kolam latihan survival air penerbangan pertama di Malaysia itu menampilkan enam ruang simulator penerbangan penuh, termasuk A330neo, Boeing 737-800NG dan ATR 72-500, bersama-sama dengan ruang latihan khusus yang memupuk persekitaran pembelajaran yang fokus dan berkesan. 

Susun aturnya menggalakkan interaksi pengajar-pelatih yang rapat, menyokong penyampaian latihan yang konsisten dan menggalakkan pendekatan berstruktur untuk membangunkan disiplin operasi.

Menuju ke hadapan, MAB Academy akan mengukuhkan lagi keupayaan dengan pengenalan Simulator Penerbangan Penuh Boeing 737-8, yang dijangka beroperasi menjelang Julai 2026.-BH Online