Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) hingga tamat penggal kali ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu memang pendirian UMNO dan BN ketika memasuki kerjasama dengan PH sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada Disember 2022.

Beliau berkata, ia antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik semalam iaitu cadangan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu lalu untuk parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, tiada keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat berkenaan berhubung saranan Pemuda UMNO itu.

“Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan tebuk atap kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

“…dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya.-BH Online