Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh dilihat sebagai satu pengubah keadaan (game canger).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi, berkata ia berikutan pihaknya tidak mahu seseorang perdana menteri berada terlalu lama di tampuk kuasa.

“Apabila seseorang perdana menteri itu terlalu lama memegang jawatan ia boleh menimbulkan kesan ketepuan biarpun ia seorang yang berkelayakan.

“Ini adalah satu ‘game changer’ yang pada hemat saya, kita tidak mahu seseorang perdana menteri itu terlalu lama, ertinya ‘overstay his or her welcome’. 

“Sebaik mana pun kalau terlalu lama ini akan menimbulkan kesan ‘saturation dan ini adalah langkah baik yang disarankan sendiri oleh perdana menteri,” katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada amanat tahun baharunya semalam. 

Semalam, media melaporkan Anwar berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Idea Anwar sendiri

Ahmad Zahid berkata, Cadangan itu dinyatakan sendiri oleh Anwar pada mesyuarat khas Kabinet semalam dan ia dipersetujui oleh semua ahli Jemaah Menteri.

Beliau berkata, RUU itu akan dibentangkan pada sidang parlimen akan datang mulai 19 Januari ini. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kementeriannya mahu membawa pembangunan desa ke tahap yang lebih tinggi. 

Perkara itu katanya, boleh dicapai apabila warganya berani mengubah cara berfikir serta memperbaharui kaedah bekerja selain bersedia meninggalkan zon selesa.

Dalam pada itu, Zahid berkata, Malaysia dijangka memperkenalkan satu sambutan sempena pengisytiharan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia pada 6 Julai ini oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).-BH Online