Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempercepatkan pelaksanaan ribuan projek kecil yang dilaksanakan kontraktor G1 hingga G4, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, langkah itu selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua kementerian dan jabatan mengenal pasti segala projek kecil, sekali gus memastikannya dilaksanakan segera seawal Februari depan.

Katanya, tiada alasan untuk projek kecil mengambil masa terlalu panjang untuk dimulakan atau disiapkan.

“Kita mengambil pendekatan positif terhadap arahan Perdana Menteri.

“Jika sesuatu projek boleh disiapkan dalam tempoh enam bulan, kenapa perlu ambil masa sehingga setahun, termasuk kerja-kerja awalan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Teknologi Lithium-Ion Bateri dan UPS di Selesa Technology Sdn Bhd di sini, hari ini.

Ahmad berkata, KKR mempunyai matlamat yang jelas bagi memastikan projek disiapkan lebih awal daripada jadual, bukannya memohon lanjutan masa.

Justeru, katanya, arahan sudah disampaikan daripada peringkat kementerian kepada menteri, ketua setiausaha (KSU) dan semua pegawai berkaitan supaya segala projek di bawah KKR disegerakan pelaksanaannya.

“Antara projek kecil yang akan diberi keutamaan adalah kerja-kerja penyelenggaraan bangunan kerajaan termasuk sekolah, hospital serta bangunan awam lain, selain pembinaan dan baik pulih jambatan kecil serta jalan kampung.

“Walaupun sebahagian projek jalan dan jambatan berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Kerja Raya (JKR) masih memainkan peranan penting sebagai agensi pelaksana.

“Pembinaan dewan, balai raya dan surau kecil juga termasuk dalam kategori projek kecil yang perlu disegerakan,” katanya.

Ahmad turut mengingatkan jurutera daerah supaya peka dan maklum dengan arahan berkenaan, sambil menegaskan pemantauan akan dilakukan oleh JKR, pejabat daerah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah.

Katanya, ICU akan menyelaras pemantauan bersama pejabat pembangunan negeri, pejabat daerah, JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk projek kecil berkaitan penyelenggaraan sungai dan parit di seluruh negara.

Mengulas isu politik, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tidak memandang ringan cabaran daripada parti Warisan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Parti Warisan menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau selama 12 tahun, Datuk Saddi Abdul Rahman untuk bertanding di kerusi Parlimen Kinabatangan bagi PRK Kinabatangan manakala Mazliwati Abdul Malek calon parti itu untuk kerusi DUN Lamag.

“Kita berharap semua jentera memberi bantuan sepenuh hati. Mana-mana yang mempunyai kelapangan, turun membantu di Lamag. Jangan ambil mudah lawan yang dikemukakan,” katanya.

BN mengumumkan calon bebas pada pilihan raya negeri Ke-17 (PRN17) Sabah lalu, Mohd Ismail Ayob sebagai calon di DUN Lamaq manakala Mohd Naim Kurniawan Moktar, anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, diumumkan sebagai calon di Parlimen Kinabatangan.-BH Online