Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Latar belakang kepimpinan dan pengalaman Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman diyakini berupaya memperkukuh kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai teras utama pertahanan negara. 

Menurut TDM dalam kenyataan, pelantikan Azhan sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, pada 1 Disember 2025.

“PTD ke-31 dengan penuh hormat takzim menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan. 

“Aspek integriti dan tadbir urus yang telus serta pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur akan diperkukuhkan sebagai teras kepimpinan beliau selari dengan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan – Strategi Domain Daratan (AMH – SD2) yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, berlangsung Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan di sini, hari ini. 

Upacara pemakaian pangkat turut disaksikan Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain. 

Tambah TDM, latar belakang kepimpinan dan pengalaman Azhan diyakini berupaya memastikan kesinambungan kepimpinan Tentera Darat Malaysia seterusnya memperkukuhkan kesiapsiagaan ketumbukan itu sebagai teras utama pertahanan negara. 

“Di samping itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga TDM akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warganya tetap dipelihara. 

“Justeru, PTD ke-31 menyeru seluruh warga TDM menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi agar TDM terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat.” 

Azhan dilahirkan di Muar, Johor pada 4 September 1969 dan mula membina kerjaya ketenteraan selepas menyertai Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 25 Ogos 1987 sebaik menamatkan pendidikan di Maktab Tentera Diraja. 

Beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989. 

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum menyandang jawatan Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat dan Komander MALBATT 850-6. 

Azhan kemudian menyandang jawatan Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia serta beberapa jawatan staf utama termasuk Ketua Pengarah Perancangan dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia. 

Beliau mengikuti Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan di Universiti Malaya, French Joint Defence College di Perancis serta Kursus Ketahanan Nasional sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.-BH Online