BANTING: Lima individu termasuk tiga warga Singapura dikenakan notis kompaun di Johor Bahru semalam, susulan membuang sampah di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, maklumat terbaru itu diterima daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menjalankan pemeriksaan di Johor, susulan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada 1 Januari lalu.
“Mereka ingat boleh (buang sampah di tempat awam), sekarang tidak boleh. Kita nak Singapura bersih, Malaysia lagi bersih,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kejayaan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Tahun 2025 di Pasar Awam Sungai Jarom, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut pada sidang media, Kor Ming berkata, sebanyak 120 ‘ulat sampah’ dikenakan kompaun di ibu negara pada ambang tahun baharu dan tindakan perundangan seterusnya akan dilaksanakan pihak pendakwaan.
Mengenai pelaksanaan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor yang tidak tertakluk mengikut Akta 672, Kor Ming berkata, penguatkuasaan akan dilakukan pihak berkuasa tempatan.
Perintah Khidmat Masyarakat mengikut Akta 672 berkuat kuasa 1 Januari lalu, sebagai hukuman bagi menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Disember lalu, memaklumkan pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu akan berkuat di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
Hukuman itu dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama.
Sementara itu, Kor Ming berkata, sebanyak 10 pasar di seluruh negara akan menjadi perintis destinasi pelancongan dan mercu tanda komuniti dalam usaha kerajaan untuk merancakkan lagi ekonomi negara dengan lebih RM10 juta diperuntukkan.
Beliau berkata, konsep reka bentuk setiap pasar diserahkan sepenuhnya kepada pertandingan reka bentuk secara terbuka dengan juri daripada pihak berkecuali manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk memilih reka bentuk terbaik.
“Mereka akan pilih mana-mana seni bina terbaik mencerminkan identiti, warisan, budaya dan alam sekitar. Setiap negeri ada reka bentuk masing-masing disebabkan ada acuan sesuai dengan warisan serta budaya masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan diteruskan mengikut jadual ditetapkan Parlimen dan KPKT telah menerima maklum balas mengenai RUU itu daripada semua pihak.
“Saya serah kepada Jabatan Perdana Menteri… memang RUU (itu akan) diteruskan ikut jadual sebagaimana telah ditetapkan Parlimen. KPKT sentiasa bersiap sedia (untuk membentangkan RUU). Kita memang dah siap sedia tapi kita hormat kepada agenda (ditentukan) Parlimen,” katanya. – BERNAMA
