PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
“Semua orang ada had tempohnya… KSN (Ketua Setiausaha Negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.
“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM)… maka, kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada Perhimpunan Bulanan JPM di sini, hari ini.
Turut hadir ialah barisan Menteri Kabinet termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Seterusnya, Anwar berkata, kerajaan juga dijangka membentangkan RUU mengenai pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, bulan ini.
Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sedang menyiapkan RUU Ombudsman.
“Ombudsman ini satu institusi diperkenalkan di zaman Islam disebut institusi akauntabiliti awam, pernah dilaksanakan di beberapa negara pada zaman khalifah (Islam).
“Ia institusi yang memberi ruang kepada rakyat untuk membangkitkan apa saja permasalahan kerana tanpa kecuali, dari Perdana Menteri sampai ke bawahnya, harus dipertanggungjawabkan dan boleh disoal,” katanya.
Perdana Menteri berkata, RUU lain ialah berkaitan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang banyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ramai.
“Saya hendak memberi jaminan bahawa soal keselamatan negara, soal risikan, tentunya kita harus beri pengecualian (daripada akta itu), tetapi (ini membabitkan) soal lain… soal tender, projek, untuk mengelak daripada salah guna kuasa.
“RUU ini akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen sesi ini atau sesi akan datang, iaitu pada tahun ini juga,” katanya.-BH Online
