Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 5 Januari – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini secara rasmi memulakan pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE 2026) di seluruh negara hingga 31 Oktober 2026.

Ia melibatkan kira-kira 1.34 juta pertubuhan perniagaan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian, termasuk perniagaan fizikal dan dalam talian.

Pelaksanaan banci yang dijalankan secara berperingkat itu bermula dengan perusahaan mikro dan kecil, bertujuan mengemas kini tahun asas data ekonomi negara kepada 2025, selari dengan keadaan ekonomi yang telah stabil pasca pandemik COVID-19.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Banci Ekonomi 2026 merupakan banci ekonomi keenam yang dilaksanakan setiap lima tahun dan berperanan penting sebagai penanda aras utama statistik struktur ekonomi negara.

“Tujuan utama banci ekonomi ini adalah untuk mendapatkan tahun asas yang benar-benar normal. Banci sebelum ini dibuat ketika negara masih dalam fasa pemulihan pasca COVID-19, sebab itu kebanyakan data ekonomi masih menggunakan tahun asas 2015,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, Banci Ekonomi 2026 menggunakan data rujukan 2025 kerana maklumat semasa belum lengkap, dan statistik ekonomi negara termasuk KDNK akan diselaraskan berdasarkan tahun asas tersebut

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata pemilihan tahun asas yang tepat penting bagi memastikan pemberat sektor, sumbangan relatif industri dan kadar pertumbuhan ekonomi dapat diukur dengan lebih tepat serta selari dengan amalan terbaik antarabangsa.

Banci ini turut memberi tumpuan kepada ekonomi baharu dan ekonomi rakyat, termasuk platform gig, perniagaan mikro serta sektor informal seperti penjaja dan pengusaha kecil yang menyumbang kepada ekonomi setempat.

“Tahun asas yang sesuai akan mempengaruhi pengukuran pertumbuhan ekonomi dan kepentingan relatif antara sektor. Ini selari dengan saranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menggalakkan negara-negara menilai semula tahun asas masing-masing,” katanya.

Selain itu, DOSM turut memperkenalkan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025, yang menggantikan MSIC 2008, bagi mencerminkan perubahan landskap ekonomi termasuk kemunculan sektor baharu seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan kandungan digital.

Beliau memaklumkan, dapatan awal Banci Ekonomi 2026 dijangka diumumkan pada hujung 2026, manakala laporan penuh termasuk sektor-sektor baharu akan diterbitkan pada awal 2027.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk peniaga dan pemain industri digesa memberi kerjasama sepanjang banci kerana data tersebut penting untuk perancangan dasar, pembangunan ekonomi dan belanjawan negara.-Berita RTM