Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bukit Kayu Hitam: Tiga sahabat yang baru kembali ke Malaysia selepas bercuti di Thailand ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah petang semalam selepas didapati positif dadah. 

Mereka yang masing-masing berusia 23 tahun dan berasal dari Johor itu ditahan pada 4 petang dalam operasi khas sempena Tahun Baru 2026 di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini.

Tiga sahabat itu adalah antara 13 individu yang ditahan AADK Kedah dalam operasi yang bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam tadi. 

Seorang daripada mereka mendakwa membeli dadah jenis ganja itu di tepi jalan ketika dalam perjalanan pulang dari bercuti di Koh Samui, Thailand.

Katanya, ia adalah pertama kali mereka mencuba dadah yang sekadar untuk suka-suka namun tidak menyangka akan ditahan AADK sebaik tiba di tanah air. 

“Kami sahabat baik sejak kecil dan datang dari Johor untuk bercuti di Thailand dengan masing-masing menunggang motosikal malah sepatutnya pulang lebih awal kerana esok (hari ini) kami bekerja. 

“Kami beli satu paket kecil saja dan kongsi bertiga, itu pun cuba hisap di hotel di Hat Yai sebelum pulang ke Malaysia dan kami tak pernah pun ambil (dadah) sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks ICQS, di sini, malam tadi. 

Menurutnya lagi, seorang daripada mereka menerima panggilan yang bapanya meninggal dunia tengah hari semalam menyebabkan mereka tergesa-gesa untuk pulang ke Johor.

Bagaimanapun, perkara itu hanya dimaklumkan kepada pegawai AADK pada 8 malam tadi selepas ditahan kerana ujian saringan awal air kencing mereka didapati positif ganja.

Pengarah AADK Kedah Khairul Anwar Ahmad berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan kenderaan seperti motosikal dan kereta namun hanya pemeriksaan ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap golongan belia dan invidividu tertentu sahaja. 

Beliau berkata, sebanyak 15 kereta serta 25 buah motosikal ditahan untuk pemeriksaan dan 30 individu diminta menjalani pemeriksaan air kencing. 

“Bagaimanapun, hanya 13 individu berusia antara 18 hingga awal 39 tahun didapati positif dadah yang kebanyakannya ketamin. 

“Mereka memberi alasan hanya mengambil dadah di tempat hiburan untuk lebih keseronokan dan mereka ini kebanyakannya mempunyai peluang untuk berubah dan tidak terjebak dengan penagihan dadah yang lebih serius, ” katanya. 

Khairul Anwar berkata, kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagihan Penyalahguna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.-Harian Metro