Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR – Tiga tahun lalu, Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk hasil kebijaksanaan dan semangat toleransi beberapa pemimpin parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ia merupakan pembentukan kerajaan yang sangat mustahak dan berada pada titik genting ketika negara sebelumnya berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi serta keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan nasional.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam tempoh tiga tahun itu, Kerajaan Perpaduan yang turut dikenali Kerajaan MADANI hari ini berada pada landasan tepat dalam menetapkan semula hala tuju negara.

Ia termasuk memulihkan keyakinan rakyat dan mengembalikan fokus kepada agenda pembangunan jangka panjang yang lebih inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Antara figura penting dalam perjalanan tiga tahun pentadbiran negara itu ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang diberikan tanggungjawab selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dengan dua peranan penting dalam barisan Kabinet negara itu, Ahmad Zahid bukan sahaja memastikan kestabilan dan kelancaran pentadbiran negara, malah turut meletakkan keutamaan dalam memastikan pembangunan desa tidak tertinggal dan diangkat sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.

“KKDW telah menstruktur semula ekosistem pembangunan desa dengan pendekatan yang lebih strategik, bersepadu dan berimpak,” kata Ahmad Zahid.

Menyoroti tiga tahun kepimpinan Ahmad Zahid itu, penganalisis sosiopolitik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, sepanjang tempoh Kerajaan MADANI, beliau dapat dinilai sebagai pragmatik, berdisiplin dan berorientasikan kestabilan politik.

Kepimpinan Politik dan Jentera Pentadbiran

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, katanya, Ahmad Zahid memainkan peranan penting sebagai penyambung antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran, khususnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai latar ideologi dan sejarah persaingan politik.

Ujarnya, Ahmad Zahid dilihat mengambil pendekatan low-profile tetapi berfungsi, tidak mendominasi wacana awam, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar, kestabilan dalaman kabinet serta sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam suasana politik pasca PRU-15 yang rapuh, gaya kepimpinan ini membantu mengurangkan geseran dalaman dan mengelakkan polemik terbuka yang boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap kerajaan,” kata Syed Agil yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden, UPM.

Sementara itu, sepanjang tempoh tiga tahun Kerajaan MADANI juga, peruntukan menerusi KKDW telah ditingkatkan tahun demi tahun dari RM11.04 bilion, RM11.55 bilion, 11.96 bilion dan tahun hadapan RM12.04 bilion. Peningkatan peruntukan ini membolehkan KKDW memperkasa usaha ke arah merapatkan jurang pembangunan bandar–desa, serta memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan moden yang setara.

Usaha itu diterjemahkan melalui pelaksanaan infrastruktur asas merangkumi jalan, air, elektrik, kemudahan sosial dan prasarana desa.

Bagi Syed Agil, situasi itu menunjukkan kejelasan fokus dasar oleh Ahmad Zahid selaku peneraju KKDW dengan menjenamakan semula pembangunan desa daripada pendekatan bantuan bersifat kebajikan kepada pemerkasaan ekonomi dan daya tahan komuniti luar bandar.

Memperkasa ekonomi desa

Antara sumbangan dan pencapaian signifikan Ahmad Zahid di KKDW juga adalah pemerkasaan ekonomi desa secara bersasar yang mana beliau memperkukuh pelaksanaan program keusahawanan desa.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada aspek pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) luar bandar; pembangunan koperasi dan peningkatan pendapatan komuniti B40 desa melalui pelbagai agensi di bawah KKDW.

“Penekanan kepada outcome-based policy memperlihatkan usaha menjadikan desa sebagai penyumbang ekonomi, bukan sekadar penerima bantuan.

“Ahmad Zahid juga konsisten dalam usaha menambah baik infrastruktur asas luar bandar menerusi penekanan akses jalan desa, bekalan air bersih, elektrik dan internet sebagai prasyarat keadilan pembangunan.

“Pendekatan beliau itu selari dengan prinsip `tiada wilayah tertinggal’ dalam kerangka Malaysia MADANI,” kata Syed Agil.

Hasilnya, ekonomi desa menunjukkan peningkatan memberangsangkan menerusi peranan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA); Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Contohnya agensi seperti MARA berjaya mewujudkan 7,303 premis dengan kadar pengisisan 90 peratus; menjana 15,000 peluang pekerjaan dan mencatat nilai jualan melebihi RM1.77 bilion.

Selain itu, di bawah inisiatif Ahmad Zahid sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) turut memacu potensi produk usahawan desa ke pasaran halal global melalui MIHAS@Shanghai 2025, yang menghimpunkan 200 reruai; 250 syarikat dan merekodkan transaksi lebih RM3.2 bilion, selari dengan aspirasi Halal Industry Master Plan 2030.

Dalam masa sama, seperti dikongsi Syed Agil, KKDW di bawah Ahmad Zahid turut menekankan pendekatan inklusif wilayah dengan memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak sebagai keutamaan strategik, sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan jurang pembangunan antara wilayah.

“Prestasi beliau di KKDW boleh dinilai sebagai stabil, berstruktur dan realistik, walaupun cabaran lama seperti kemiskinan desa dan penghijrahan belia masih memerlukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Mengangkat TVET, Tahfiz

Aspek lain yang tidak boleh diketepikan di bawah peranan KKDW juga adalah Program Pra-Tahfiz KEMAS yang sehingga kini berjaya melahirkan 52,000 huffaz cilik, memperluas program Ulul Albab ke semua 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta memperkenalkan TVET Tahfiz menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) sebagai laluan kerjaya pelajar tahfiz.

Selain itu, TVET MARA dan TVET Teknopreneur turut melahirkan lebih 800,000 pelajar berkemahiran dengan seramai 420 pelajar Orang Asli kini melangkah ke universiti, iaitu suatu pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negara.

Dalam aspek kesiapsiagaan bencana, pula, peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terus diperkukuh di bawah KKDW dengan kini mengoperasikan 1,798 stesen hidrologi telemetri, 197 kamera pemantauan serta 36 model ramalan banjir.

Kesemuanya dilaksanakan menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang menggunakan pendekatan hidrodinamik yang turut melibatkan sebanyak 614 siren amaran banjir awal yang dipasang di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan makluman segera kepada penduduk.

Seperti yang pernah disebut Ahmad Zahid sebelum ini, kerajaan juga dalam usaha untuk memperkasa Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada tahun lalu dengan pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan.

Dalam masa sama, KKDW turut bekerjasama erat dengan kerajan negeri khususnya dalam usaha membangunkan Strategi dan Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana Peringkat Negeri.

Ia supaya rangka kerja komprehensif dapat diwujudkan ke arah menjadikan Malaysia lebih selamat, lebih berdaya tahan dan lebih bersedia menghadapi perubahan iklim ekstrem.

“Kesemua pencapaian ini membuktikan bahawa kestabilan politik ialah prasyarat kepada kemajuan, dan bahawa agenda pembangunan desa serta pendidikan TVET adalah komponen strategik dalam mendaya Malaysia menjadi negara yang lebih makmur, sejahtera dan berdaya saing,” kata Ahmad Zahid.

Keputusan strategik sertai kerajaan

Sementara itu, dalam konteks politik, peranan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mungkin merupakan sumbangan paling kritikal beliau kepada kelangsungan Kerajaan Perpaduan hari ini.

Menurut Syed Agil, keputusan strategik beliau membawa UMNO-BN menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15 merupakan langkah berisiko tinggi tetapi berimpak besar.

Katanya, ia menuntut kepimpinan politik yang berani, disiplin parti yang kuat serta kesanggupan menanggung tekanan dalaman dan persepsi akar umbi.

“Antara kejayaan Ahmad Zahid itu adalah mengekalkan kesetiaan majoriti Ahli Parlimen BN kepada kerajaan, mengawal perpecahan dalaman UMNO agar tidak menjejaskan kestabilan kerajaan dan bertindak sebagai pengaman politik antara gabungan yang sebelum ini bermusuhan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun UMNO masih berdepan cabaran sokongan akar umbi, Ahmad Zahid dilihat berjaya memastikan parti berfungsi sebagai rakan kerajaan yang bertanggungjawab, bukannya liabiliti politik.

Secara keseluruhan, kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Kerajaan MADANI boleh dirumuskan sebagai kepimpinan berasaskan kestabilan, kelangsungan dan fungsi institusi.

Sumbangan beliau mungkin tidak bersifat populis atau sensasi, tetapi signifikan dari sudut mengelakkan kegagalan kerajaan, memastikan dasar dapat dilaksanakan dan mengekalkan kesepaduan politik.

“Dalam landskap politik Malaysia yang masih berfragmen, peranan sebegini sering kurang dihargai, namun ia merupakan utama kepada kelangsungan reformasi dan tadbir urus yang lebih matang,” kata Syed Agil. – MalaysiaGazette