Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Situasi di Gaza yang menunjukkan sedikit perkembangan positif susulan pelaksanaan gencatan senjata membuka ruang kepada kemasukan bantuan kemanusiaan secara lebih meluas ke Gaza.

Ketua Unit Hal Ehwal Palestin (UHEP) Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, Muhd Irfan Zulkurnain, berkata ia sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang terjejas teruk akibat sekatan dan serangan sebelum ini.

Beliau berkata, Malaysia sebelum ini menyalurkan bantuan kemanusiaan secara berterusan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai saluran, termasuk Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar. 

Sejak dilancarkan, katanya akaun amanah itu berjaya mengumpul dan menyalurkan puluhan juta ringgit bagi tujuan bantuan makanan, perubatan, bekalan air bersih serta perlindungan golongan rentan seperti kanak-kanak dan wanita.

“Selain sumbangan kewangan, bantuan turut disampaikan melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa serta rakan serantau, termasuk Jordan.

“Ia bagi memastikan bantuan dapat disalurkan ke Gaza mengikut keperluan kemanusiaan dan garis panduan keselamatan yang ditetapkan,” katanya kepada BH.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 19 Januari tahun ini, hasil rundingan antarabangsa selepas konflik berpanjangan yang mengorbankan ribuan nyawa awam di Palestin serta memusnahkan infrastruktur asas.

Muhd Irfan menegaskan Malaysia akan terus memperkukuh sokongan terhadap Palestin khususnya dalam aspek kemanusiaan dan diplomatik, selari pendirian konsisten negara dalam memperjuang hak dan kebajikan rakyat Palestin.

beliau berkata, sejak 2023 sumbangan disalurkan Malaysia kepada Palestin melalui AAKRP dan saluran lain berjumlah AS$15 juta (RM70 juta).

Kerajaan Malaysia juga, katanya terus menggesa masyarakat antarabangsa supaya memastikan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak disekat dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa mengulangi sokongan terhadap penyelesaian adil dan berkekalan kepada konflik Palestin-Israel.

“Rakyat Malaysia digalakkan untuk terus menzahirkan solidariti dan menyumbang kepada usaha kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin secara berterusan.

“Ini kerana usaha itu selaras dengan nilai kemanusiaan sejagat yang menjadi asas pendirian negara ini,” katanya.-BH Online