Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$124.12 bilion setakat 30 November 2025, manakala aset mata wang asing lain berada pada AS$266.2 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu memaklumkan, butiran terperinci rizab antarabangsa yang disediakan mengikut format Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan maklumat mengenai saiz, komposisi serta kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain.

Menurut BNM, butiran berkenaan turut menyediakan panduan mengenai jangkaan dan potensi aliran masuk serta aliran keluar pertukaran asing Kerajaan Persekutuan dan BNM bagi tempoh 12 bulan akan datang.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan bahawa pada akhir November 2025, rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi deposit, sekuriti dan pinjaman mata wang asing, termasuk pembayaran balik berjadual bagi peminjaman luar oleh kerajaan serta kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing, berjumlah AS$13.18 bilion.

Selain itu, kedudukan jualan hadapan bersih direkodkan pada AS$21.02 bilion pada akhir November 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

BNM menjelaskan, selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data berkenaan tidak merangkumi unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

“Unjuran aliran masuk berkenaan dianggarkan berjumlah AS$2.91 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

Bank pusat itu turut memaklumkan bahawa satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontigensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh setahun, berjumlah AS$417 juta.

“Tiada pinjaman mata wang asing yang terkandung dalam opsyen, tiada kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank atau institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam sebarang urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.– BERNAMA